KOTA KINABALU: Teka-teki mengenai “bilakah Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan” menjadi antara bualan hangat kebelakangan ini di Sabah, terutama di kedai kopi.
Ramai mencongak percaturan sendiri mengenai calon bakal ditampilkan parti bertanding terutama kewibawaan wakil rakyat untuk menjadi pejuang dan pembela rakyat.
Antara 73 kerusi yang akan menjadi rebutan pada PRN akan datang, kawasan campuran DUN Inanam disebut-sebut sebagai salah satu kerusi panas.
Pertarungan bagi DUN Inanam dijangka menarik dalam PRN akan datang.
Mengikut statistik, majoriti pengundi di Inanam terdiri daripada masyarakat Kadazandusun, diikuti pengundi Cina dan Bumiputera Islam.
Mengikut ramalan orang ramai, Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), mungkin mempunyai kelebihan untuk menang.
Turut menganggotai PH ialah DAP, Amanah dan UPKO.
Ini kerana pada PRN sebelum ini,
Peto Galim, calon PKR, memenangi kerusi Inanam dengan majoriti undi yang memberangsangkan.
Peto yang kini memegang jawatan Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah dijangka mempertahankan kerusi DUN Inanam pada PRN akan datang.
Selain penyandang Peto, beberapa tokoh tempatan lain yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk DUN Inanam.
Mereka termasuk Edna Jessica Majimbon, Ketua Daerah di Mahkamah Anak Negeri (MAN) Kota Kinabalu dan Dr Jikat Binol Darimbang,, bekas pegawai Yayasan Sabah berkelulusan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaysia Sabah.
Kedua-dua mereka merupakan ahli atau penyokong kuat Parti Bersatu Sabah (PBS).
Seorang lagi tokoh yang disebut-sebut ialah Dr Roland Chia, bekas Adun Inanam, yang mewakili Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Kedua-dua PBS dan Gagasan Rakyat adalah anggota GRS, sedangkan pada masa ini, GRS dan PH bersama-sama berkongsi kuasa dalam mentadbir kerajaan negeri.
Namun begitu, pemerhati politik tempatan menjangkakan pertembungan antara PH (PKR), PBS dan Gagasan Rakyat mungkin dapat dielakkan sekiranya PH diberikan kerusi Inanam semasa proses rundingan pra-PRN.
Jika senario sebegitu jadi kenyataan, PH (PKR) berkemungkinan berdepan cabaran daripada parti pembangkang utama yang lain, khususnya KDM, Warisan, dan BN.
Pada masa ini, KDM, BN, dan Warisan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan dijangka membuat langkah mereka, termasuk bergerak sebagai satu pasukan pembangkang, sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan.
Penganalisis politik percaya Inanam, sebagai kawasan campuran yang terletak di pinggiran bandaraya Kota Kinabalu akan menjadi ujian untuk mengukur keutamaan pengundi berhubung perwakilan dalam dewan undangan Sabah.
Mereka melihatnya sebagai petunjuk menarik untuk menentukan sama ada pengundi akan menyokong parti tempatan atau parti gabungan nasional — PH (PKR) sekiranya berlaku pertarungangan pesaing utama antara PH dan mana-mana parti tempatan, khususnya KDM atau Warisan untuk DUN Inanam.
Dijangkakan parti-parti kecil dan beberapa calon bebas turut mencuba nasib dalam PRN akan datang seperti yang berlaku dalam PRN lepas, sekali gus menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.