KOTA KINABALU : Ketua Puteri UMNO Sabah Ummi Nabilah Datuk Jamal berkata jentera parti khususnya Puteri UMNO perlu menguasai media sosial yang diaplikasi sebagai salah satu bentuk kempen dalam norma baharu khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang
Menurut beliau penyebaran persepsi dan propaganda dalam media sosial yang dilakukan oleh pihak lawan kini semakin meluas dan jika dibiarkan ianya akan akan memberikan kesan negatif kepada kepada parti UMNO.
“Puteri UMNO tidak boleh tertinggal dalam menguasai media baru, jika mereka 10 kali aktif memuat naik gambar provokasi, fitnah dan cemuhan kepada UMNO, kita 100 kali lebih aktif ke hadapan bukan sahaja menangkis dakyah mereka tapi aktif menyebarluaskan program dan dasar parti kepada Masyarakat,” katanya semasa ditemui selepas majlis perasmian kursus Media dan Tik Tok bagi Zon satu, dua dan tiga di Unversiti Malaysia Sabah baru-baru ini.
Kursus tersebut dirasmikan oleh Ketua Puteri Umno Malaysia Datuk Nurul Amal Fauzi dan penutupannya oleh Ketua Umno bahagian Putatan Jeffery Mohd Nor Mohamed yang mewakili Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.
Menurut Ummi Nabilah yang juga Ketua Puteri UMNO bahagian Papar, Puteri UMNO wajib menguasai digital sosial dan kecerdasan sosial, membantu rakyat, salurkan maklumat isu serta masalah yang mereka hadapi terutama isu berkaitan keperluan pembangunan insfrastruktur kepada pihak berkenaan selain menyebarkan program serta halatuju parti UMNO kepada masyarakat agar mereka dekat dengan UMNO.
“Gunakanlah media sosial seoptimumnya, muat naik program parti,isu rakyat dan halatuju parti bukanya cerita yang lebih menjurus kepada kegiatan peribadi kerana ianya tidak membantu kekuatan parti,” tegas Ummi Nabilah.
Beliau berkata ledakan teknologi maklumat menuntut anggota Puteri bergerak seiring perkembangan semasa agar dapat menangani perbuatan pihak lawan melakukan propaganda dan fitnah secara tersusun dengan membalasnya secara berfakta dan berhemah.
“Dalam era politik dunia tanpa sempadan ini, kita tidak boleh lagi bergantung kepada cara politik lama untuk mendominasi rakyat, sebaliknya perlu turut serta bertempur di arena sama dengan kaedah yang digunakan pihak lawan iaitu media sosial,” katanya.