Subsidi diesel bantu rakyat Sabah –  Jamawi

TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, langkah itu amat signifikan memandangkan keperluan penggunaan kenderaan diesel yang tinggi dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Kita mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan Perdana Menteri mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.

“Kita memahami kebanyakan rakyat Sabah menggunakan kenderaan diesel, khususnya kenderaan pacuan empat roda, disebabkan faktor geografi, jarak antara pekan yang jauh serta keadaan jalan raya yang belum setara dengan di Semenanjung,” katanya ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihoskan oleh beliau yang juga ADUN Melalap bersama isterinya di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Jamawi berharap masyarakat di Semenanjung dapat memahami keperluan berbeza di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Jamawi menasihatkan rakyat supaya memanfaatkan subsidi bahan api dengan bijak dan tidak melakukan pembaziran.

“Kita gunakan kemudahan ini sebaiknya. Jika ada lebihan, berjimatlah kerana ia penting untuk masa depan. Jangan membazir,” katanya.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor pertanian dan perikanan, beliau turut mengingatkan pengusaha agar lebih berwaspada, terutama dalam musim panas ketika ini.

“Kita nasihatkan supaya elakkan pembakaran terbuka kerana ia boleh mengundang risiko kebakaran serta menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak kementerian sedang berusaha membantu petani kecil yang belum menerima subsidi bahan api.

“Kita telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup supaya mereka ini dapat didaftarkan dan turut menikmati subsidi bahan api bagi kegunaan sektor pertanian, perikanan dan penternakan,” katanya.

Selain itu, Jamawi berkata kenaikan harga baja ketika ini turut memberi kesan kepada golongan petani, susulan faktor global termasuk sekatan eksport oleh negara pengeluar.

“Kebanyakan baja dihasilkan daripada petroleum dan kita juga berdepan isu pemberhentian eksport dari China, yang sedikit sebanyak menjejaskan bekalan tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan petani beralih kepada penggunaan baja kompos sebagai alternatif lebih mampan.

“Penggunaan baja kompos bukan sahaja dapat mengurangkan kos, malah membantu meningkatkan kesuburan tanah secara semula jadi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan kementeriannya akan terus berunding dengan pihak berkaitan bagi memastikan bekalan baja mencukupi dan dapat diagihkan secara teratur.

Jamawi turut menggesa masyarakat agar sentiasa berhubung dengan pegawai pertanian, veterinar dan perikanan di kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat.

“Kita mempunyai pegawai di lapangan yang sentiasa bersedia membantu menyelesaikan isu yang dihadapi petani dan pengusaha,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 8,000 penduduk dari Tenom, Kemabong dan Melalap memeriahkan majlis rumah terbuka itu yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.

Jamawi berkata, kehadiran memberangsangkan itu jelas menunjukkan semangat perpaduan yang terus utuh dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Kalau kita lihat sambutan hari ini daripada pagi hingga tengah hari, kita jangkakan lebih kurang 8,000 masyarakat Tenom, Kemabong dan Melalap hadir hari ini,” katanya.

Beliau berkata, keunikan Sabah yang dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama menjadi kekuatan utama dalam memupuk perpaduan dan keharmonian berterusan.

“Ini menunjukkan semangat kesatuan dalam kepelbagaian yang perlu kita terus perkasakan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pembantu Menteri I Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pembantu Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi & Inovasi merangkap ADUN Tulid, Jordan Jude Ellron; Ketua Daerah DUN Melalap, OKK Tusip Tulas; Pengurus-Pengurus Besar Jabatan dan Agensi MAFFI serta para pemimpin setempat. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles