PENJAJA, PENIAGA KECIL PENGGERAK EKONOMI RAKYAT – MAIJOL

KOTA MARUDU: Penjaja dan peniaga kecil merupakan antara penggerak penting ekonomi rakyat di Sabah dan layak diberi perhatian, sokongan serta peluang untuk terus maju.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Maijol Mahap, berkata gerai makanan, tamu mingguan, pasar malam dan perniagaan dari rumah sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.

“Di sebalik setiap gerai, ada individu dan keluarga yang bergantung kepada hasil jualan untuk menyara hidup. Perniagaan mereka mungkin kecil, tetapi sumbangan kepada ekonomi masyarakat sebenarnya besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2026 Edisi Kota Marudu bertempat di Kg Tagaroh disini, Ahad lalu.

Maijol menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Menterinya Datuk Ewon Benedick dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) kerana membawa program itu ke Kota Marudu.

Beliau menyokong program seumpama itu diteruskan dan diperluas ke lebih banyak daerah, terutama kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Penjaja dan peniaga kecil bukan hanya di bandar besar, tetapi juga di pekan kecil, kampung dan tamu desa. Mereka juga perlu akses kepada peluang yang sama seperti usahawan PKS lain,” katanya.

Menurutnya, pendekatan membawa program terus kepada komuniti sejajar dengan agenda Sabah Maju Jaya 2.0. Dengan itu, peniaga luar bandar tidak ketinggalan mendapat maklumat tentang latihan, pembiayaan, bantuan kerajaan dan pemasaran digital.
Maijol turut menyokong hasrat Ewon dan MINDET untuk menjadikan sambutan HPPK program tahunan. Program itu juga boleh menjadi platform menghargai persatuan penjaja dan peniaga kecil peringkat daerah.

Maijol menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengukuhkan kerjasama dengan persatuan penjaja dan peniaga kecil di setiap daerah.
“PBT paling hampir dengan urusan perniagaan di peringkat tempatan. Saya berharap saluran komunikasi dibuka dan kerjasama sedia ada dikekalkan supaya isu dan keperluan penjaja dapat dibincangkan serta diselesaikan bersama,” katanya.
Beliau juga meminta persatuan bersikap proaktif dengan menyampaikan maklumat, mengumpul pandangan ahli dan mengemukakan cadangan yang membina kepada pejabat daerah dan PBT.

Maijol turut mahu Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS) menyelaras hubungan antara persatuan daerah dengan Kerajaan Negeri. Menurutnya, ini penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan teratur serta membantu meningkatkan pendapatan peniaga.

Beliau menggalakkan peniaga di Kota Marudu memanfaatkan sesi perkongsian ilmu, latihan dan khidmat nasihat sepanjang karnival. Peniaga juga digesa meningkatkan mutu produk, memperbaiki pengurusan perniagaan dan menggunakan teknologi digital untuk pemasaran.
“Saya mahu melihat lebih ramai peniaga kecil di Kota Marudu yang bukan sahaja mampu bersaing, tetapi juga berkembang ke tahap lebih baik,” katanya.

Maijol berkata Kota Marudu mempunyai potensi ekonomi tempatan yang boleh diperkasakan melalui perniagaan makanan, hasil pertanian, produk tempatan dan kraftangan.
Beliau berharap karnival dua hari itu menjadi permulaan kerjasama lebih erat antara kementerian, PBT, agensi kerajaan, persatuan dan komuniti peniaga kecil.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles