Sabah dalam jagaan yang selamat di bawah Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah berada dalam keadaan yang selamat dan stabil di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Inilah realiti politik dan ekonomi yang dinikmati negeri ini sejak tahun 2020 apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – satu gabungan lapan parti – yang diterajui Hajiji bersama rakan kerjasama mereka, Pakatan Harapan (PH), mengambil alih pentadbiran negeri.

“Ini dengan jelas mencerminkan komitmen kerajaan gabungan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial dalam suasana politik yang stabil,” kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau menyeru rakyat supaya membuat pilihan yang bijak dalam pilihan raya negeri akan datang dan tidak mempertaruhkan masa depan mereka serta anak-anak mereka.

Nizam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata kestabilan ekonomi memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dan sumber yang penting untuk kehidupan yang sihat.

Tambah beliau, peluang pekerjaan merupakan tonggak utama kepada pertumbuhan ekonomi “dan jika anda mempunyai pekerjaan, anda boleh berbelanja untuk makanan dan perkhidmatan yang kemudiannya akan membantu perniagaan berkembang dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan”.

Ketidakstabilan, beliau mengingatkan, hanya akan mengurangkan keyakinan pelabur dan mewujudkan persekitaran tidak menentu yang boleh menghalang pertumbuhan.

Beliau memberi amaran bahawa ketidakstabilan hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur serta mewujudkan persekitaran yang tidak menentu, sekali gus menghalang pertumbuhan.

“Oleh itu, mandat yang kukuh daripada rakyat Sabah amat penting kali ini untuk memastikan kestabilan berterusan yang bukan sahaja membolehkan tadbir urus yang berkesan, tetapi juga penting untuk perpaduan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan Tiada ruang untuk politik fitnah, sebaliknya yang diperlukan ialah agenda politik yang realistik bagi memajukan ekonomi Sabah seperti yang telah digariskan oleh kerajaan gabungan sejak awal.

Meskipun pembangunan di kawasan bandar terus giat dijalankan, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan keperluan masyarakat luar bandar.

“Kerajaan telah menembusi jauh ke kawasan luar bandar dan ini amat mengagumkan serta berjaya menarik sokongan mereka.

“Pelbagai program yang dirancang dan dilaksanakan benar-benar menyentuh hati rakyat luar bandar, termasuk di kawasan pedalaman,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri mengumumkan pelaksanaan pelan Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) selama enam tahun bagi merangsang ekonomi luar bandar dan mengukuhkan sekuriti makanan.

RAER telah diluluskan oleh Kabinet Negeri pada 26 Mac tahun ini.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada transformasi tanah terbiar di kawasan luar bandar menjadi zon pertanian produktif, meningkatkan pengeluaran serta mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

Ia juga bertujuan menjana pendapatan untuk kumpulan sasar, khususnya mereka yang hidup dalam kemiskinan dan miskin tegar, sambil menangani isu pengangguran serta membuka potensi ekonomi luar bandar Sabah.

Kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun untuk melaksanakan RAER – menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM60 juta dalam tempoh enam tahun antara 2025 hingga 2030.

Untuk memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, mempunyai tempat berteduh, kerajaan negeri telah melancarkan program Rumah Mesra SMJ pada tahun 2022.

Ketua Menteri menjelaskan bahawa inisiatif perumahan yang berkonsepkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ini bertujuan membantu mereka yang berada di bawah garis kemiskinan memiliki rumah sendiri.

Rumah-rumah ini akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menggunakan Geran Khas Persekutuan sebanyak RM125.6 juta.

Setiap unit rumah dianggarkan berharga RM70,000 dan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak memiliki rumah.

Nizam yakin bahawa pengundi Sabah tidak akan berpaling tadah daripada sebuah kerajaan yang mengambil berat tentang semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Datuk Clarence Bongkos Malakun berkata, kerajaan gabungan telah mengambil langkah-langkah proaktif menangani isu-isu kritikal, khususnya masalah air dan bekalan elektrik.

Bekas ADUN itu optimis bahawa masalah tersebut dapat ditanggani apabila Projek Hidroelektrik Ulu Padas (UPHEP) bernilai berbilion ringgit mula beroperasi.

Clarence menyifatkan ini sebagai satu inisiatif kerajaan yang amat terpuji dalam menyelesaikan masalah yang telah berlarutan selama beberapa dekad.

UPHEP yang berkapasiti 187.5MW – dijangka siap menjelang akhir tahun 2030 – mampu menjana purata 1,052 gigawatt jam (GWh) tenaga bersih setiap tahun, sekaligus meningkatkan kapasiti sedia ada Sabah sebanyak kira-kira 15%.

Selain itu, ia akan menggandakan campuran tenaga boleh diperbaharui (RE), menyokong sasaran negeri untuk mencapai 35% tenaga boleh diperbaharui dalam campuran penjanaannya menjelang 2035.

Ketika pelancaran projek itu dua tahun lalu, Ketua Menteri menyatakan keyakinannya bahawa ia juga akan membantu menyelesaikan masalah bekalan air negeri ini dalam jangka panjang.

Dewan Undangan Negeri Sabah perlu dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 yang mesti diadakan selewat-lewatnya awal Disember tahun ini.

Setelah dibubarkan dengan perkenan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, gelanggang politik akan terbuka bagi menghadapi pilihan raya yang mungkin menjadi paling sengit dalam sejarah Sabah.

“Ini sememangnya ujian besar buat GRS, namun kemenangan bergantung kepada apa yang telah dilakukan untuk negeri dan rakyat – bukannya cakap-cakap kosong pihak pembangkang,” kata Clarence.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles