Oleh: JTS
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempelawa lebih banyak pihak tampil menjadi rakan strategik rasmi dalam memperkasa pelaksanaan inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyertaan boleh diajukan kepada Sekretariat i-FB yang diselaraskan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di bawah KPDN.
“Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) merupakan pendekatan baharu yang dirintis bermula bulan Disember 2025 bagi menggerakkan agenda transformasi dalam memperkukuh pelaksanaan Program Food Bank Malaysia,” katanya.
Beliau berlata demikian pada sidang media selepas menyempurnkan majlis pelancaran CSR i-FB @KFC, di KFC Bandaran Jalan Pintas Tuaran, dekat sini pada Ahad.
Armizan berkata, agenda transformasi ini menggariskan tiga komponen objektif inisiatif i-FB iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
Katanya, Inisiatif i-FB menekankan kepada usaha menyemarakkan nilai ihsan belas kasihan dalam masyarakat untuk bersama dalam gerakan menyantuni komuniti khususnya golongan rentan dan kumpulan sasar untuk menyalurkan bantuan makanan melalui food bank.
“Ini sekali gus membantu golongan sasar dalam menghadapi kos sara hidup rakyat khususnya perbelanjaan makanan.
“Pada masa yang sama, i-FB menyemai kesedaran dan kepedulian masyarakat terhadap usaha menyayangi alam melalui kawalan penghasilan lebihan makanan (food surplus) yang menjadi sisa pepejal,” katanya.
Armizan berkata, peningkatan sisa makanan yang tidak terkawal akan melibatkan kos pengurusan pembuangan sampah secara haram mahupun pembukaan lebih banyak tapak pelupusan sampah. Keadaan ini sekali gus akan memberikan kesan kepada tahap kualiti alam sekitar.
“Inisiatif i-FB turut menumpukan usaha meningkatkan kebersamaan dan khidmat bakti masyarakat dalam gerakan menyelamatkan makanan (food rescue).
“Ini juga bertepatan dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan separuh daripada pembaziran makanan di peringkat industri dan pengguna menjelang 2030,” katanya.
Katanya, satu kajian yang pernah dikeluarkan oleh Food and Agriculture Organisation (FAO) mendapati sepertiga iaitu bersamaan dengan 1.3 bilion tan metrik daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia dibazirkan begitu sahaja.
Armizan berkata, hari ini QSR Brands (M) Holdings Bhd sebagai rakan strategik inisiatif i-FB tampil dengan projek i-FB@KFC iaitu ikhtiar menyelamatkan makanan (food rescue) untuk disumbangkan kepada komuniti yang memerlukan.
Katanya, QSR Brands sebagai syarikat pemilik dan pengendali rangkaian restoran KFC di Malaysia menyelaraskan usaha mengumpulkan lebihan makanan (food surplus) yang tidak terjual dalam tempoh yang ditetapkan di restoranrestoran KFC dan menguruskannya agar kekal bersih, selamat dan berkualiti untuk pengagihan sebagai sumbangan.
Kayanya, melalui inisiatif i-FB, projek ini akan digerakkan secara lebih sistematik melibatkan QSR Brands, KPDN dan badan-badan bukan Kerajaan (NGO) serta institusi yang dikenal pasti termasuk dalam mengenal pasti kumpulan sasar penerima yang lebih meluas.
Katanya, antara peranan pihak NGO dan institusi yang terlibat dalam projek ini adalah untuk menyimpan, mengedar atau memproses semula produk tersebut untuk diberikan kepada golongan sasar dalam tempoh 3 hari dari tarikh pengambilan produk dari restoran KFC.
Armizan berkata, sebagai permulaan, sebanyak 10 restoran KFC di Sabah akan terlibat dalam projek i-FB@KFC iaitu KFC Putatan, KFC Plaza Juta, KFC Papar, KFC Kinarut, KFC Benoni, KFC Tuaran, KFC Sepanggar, KFC Wawasan Plaza, KFC Emart Lintas dan KFC Bandaran KK Utara.
KPDN juga telah mengenal pasti rakan strategik daripada 10 NGO/institusi yang akan bekerjasama terus dengan setiap restoran KFC terlibat untuk pengurusan dan pengagihan sumbangan makanan.
Katanya, projek i-FB@KFC akan diperluaskan melibatkan lebih banyak restoran KFC dan rakan strategik di seluruh negara. KPDN berharap usaha ini dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam memperluas pelaksanaan Inisiatif i-FB.
“Ini sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan khususnya dalam membantu lebih ramai golongan sasar, mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat serta menangani isu pembaziran makanan secara berkesan,” katanya.
Di majlis itu, Armizan turut mengagihkan pek makanan KFC kepada 50 anak-anak daripada Persatuan Sayangi Kanak-Kanak Sabah, dibawa naungan Datuk Hajah Julia Salag (isteri Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor).
