KOTA KINABALU: Selepas tersentak dengan keputusan kurang memberangsangkan dalam pilihan raya negeri ke-16 (2020) yang menyaksikan hanya Datuk Ewon Benedick yang selamat atau menang di DUN Kadamaian, UPKO dilihat mula menemui sentuhan apabila menawan dua kerusi parlimen – Tuaran dan Penampang – dalam pilihan raya umum 2022.
Kejayaan luar dugaan itu sedikit sebanyak membakar semula semangat penyokong tegar UPKO, yang merasa sedikit gusar dengan pencqpaian parti semasa pilihan raya negeri yang lalu.
Selain Kadamaian, UPKO pernah meraih kemenangan di beberapa kerusi negeri, termasuk Moyog, Bingkor, Kuala Penyu dan Kuamut pada zaman kegemilangannya.
Hari ini (2 Mei), UPKO menyambut ulang tahun ke-31, satu peluang keemasan yang dinanti-nantikan untuk bangkit semula dan meletakkan parti itu sebagai antara pencabar utama yang mampu melakukan kejutan dalam PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Kepimpinan UPKO terus silih berganti dan kini di bawah pimpinan tokoh muda karismatik Datuk Ewon Benedick.
Bolehkah sentuhan Ewon mengubah nasib parti itu dalam pilihan raya akan datang?
Penganalisis politik dan aktivis sosial Dr Kanul Gindol berpendapat UPKO merupakan parti yang wajar diberi perhatian dalam PRN.
“UPKO kini berada di bawah pimpinan Ewon yang berwibawa dan mempunyai kelebihan sebagai Menteri Persekutuan, melayani pengundi-pengundinya di Penampang, Kadamaian dan ahli-ahli UPKO dengan sebaiknya,” katanya kepada Jesselton Times dalam satu temu bual eksklusif pada Khamis.
UPKO, sebagai salah satu komponen Pakatan Harapan (PH) dan dengan andaian ia mendapat kerjasama daripada Barisan Nasional dan mungkin GRS, dijangka akan memenangi lebih daripada satu kerusi dalam pilihan raya negeri yang akan datang.
“Setidak-tidaknya itu adalah aritmetik mudah untuk UPKO kali ini. Saya rasa Ewon boleh memilih kerusi yang tepat dan sesuai untuk ditandingi parti tersebut,” katanya, sambil menambah bahawa pilihan raya negeri kali ini amat mencabar.
Dalam pilihan raya negeri pada tahun 2020, UPKO, bekerjasama dengan PH dan Warisan Plus, bertanding di 12 kerusi, kebanyakannya merupakan kawasan pilihan raya yang didominasi oleh Kadazan-Dusun-Murut, tetapi hanya menang di Kadamaian.
Untuk pilihan raya negeri ke-17, Ewon dipetik sebagai berkata pada tahun 2023 dan mengulangi tahun lalu, bahawa partinya ingin bertanding di kerusi campuran, dan dikatakan kedua-dua pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi GRS Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sudah maklum hasrat UPKO tersebut.
“Ia pastinya akan memberi suntikan semangat kepada UPKO jika PH dan GRS menyetujui parti tempatan itu bertanding di kerusi campuran, namun ini bukanlah sesuatu yang mudah, kerana parti-parti, sama ada dalam PH atau GRS, semuanya berebut untuk mendapatkan kerusi yang sama.
“Sebagai contoh, Tamparuli boleh dianggap sebagai kerusi campuran kerana walaupun ia didominasi oleh Dusun, ia juga mempunyai pengundi Cina dan Muslim yang agak ramai, tetapi kemudian, penyandangnya adalah dari PBS,” kata Dr Kanul sambil menambah bahawa pertukaran bukan sesuatu yang mudah.
Ramai yang meramalkan jika UPKO bertanding di DUN Tamparuli, bekas presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mungkin akan diturunkan sebagai calon.
Namun, Dr Kanul berkata Ewon agak baik dalam rundingan dengan pihak yang berkepentingan, termasuk rakan kongsi dan ini terbukti apabila beliau terpilih sebagai pengerusi PH Sabah baru-baru ini.
“Jika Ewon dapat berunding dengan baik dengan rakan kongsi, dia mungkin berjaya menambah kerusi UPKO pada pilihan raya akan datang. Dia juga bijak dalam menyusunatur sasaran, lihat sahaja kerusi Penampang pada tahun 2022.
“Saya rasa kejayaan Ewon mendapatkan sokongan undi Cina adalah sesuatu yang hebat, sekali gus memberi sedikit harapan kepada UPKO untuk meletakkan calon di kerusi campuran, bukan lagi sekadar di kerusi tradisi Kadazan-Dusun-Murut. UPKO juga kini berada di kedudukan yang baik di bawah pimpinan Ewon ,” kata Dr Kanul.
“Politik Sabah tidak menentu, keadaan mungkin berubah secara tiba-tiba, penjajaran mungkin goyah. Akan ada ribut dan gelora, dan kapten kapal seperti Ewon mesti bijak atur strategi menyesuaikan layar dengan sewajarnya untuk sampai ke destinasi yang diharapkan,” tambahnya.