Oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Ketua Penerangan PH Sabah
KOTA KINABALU: PH Sabah merujuk kepada laporan Daily Express bertajuk “PH Sabah mungkin tanding bawah GRS/Sabah PH may contest under GRS” yang diterbitkan pada 7 Jun 2026.
Laporan tersebut adalah mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah Pakatan Harapan (PH) Sabah telah membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya akan datang.
Hakikatnya, sehingga hari ini, tiada sebarang perbincangan dan keputusan muktamad dibuat oleh PH Sabah berhubung penggunaan logo atau bentuk kerjasama pilihan raya yang akan dilaksanakan. Sebarang keputusan hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi apabila tiba masanya.
PH Sabah sentiasa mengutamakan kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta kebajikan rakyat Sabah. Segala pertimbangan berkaitan kerjasama politik dan strategi pilihan raya akan dibuat berdasarkan prinsip tersebut serta demi memastikan kesinambungan agenda pembangunan untuk rakyat.
Justeru, adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan bahawa PH Sabah telah memutuskan untuk bertanding menggunakan mana-mana logo tertentu. Pada masa yang sama, PH Sabah tidak menolak sebarang kemungkinan yang boleh dipersetujui bersama oleh pihak-pihak yang terlibat demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
Kami berharap semua pihak, termasuk media, dapat melaporkan perkara ini secara tepat dan tidak membuat tafsiran yang mendahului proses perbincangan yang masih berlangsung.
