KOTA KINABALU: Kenyataan pengulas konservatif dari Amerika Syarikat, Bill O’Reilly bahawa rakyat Malaysia miskin kerana pendapatan per kapita di negara ini lebih rendah berbanding AS tidak menggambarkan keadaan sebenarnya.
Sebaliknya, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata penilaian itu wajar mengambil kira kuasa beli rakyat Malaysia.
“Memang benar gaji minimum di Malaysia hanya sekitar RM1,700 sebulan. Namun, dengan jumlah itu, seseorang masih boleh menyewa bilik (sekitar RM500), makan di luar (nasi campur RM7), menggunakan pengangkutan awam (pas bulanan LRT RM50), dan mendapatkan rawatan di klinik kerajaan (serendah RM1),” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Sambil membandingkan kos sara hidup di bandaraya New York, Abdul Aziz berkata
gaji minimum Amerika Syarikat ialah USD7.25 sejam, tetapi sewa apartmen satu bilik boleh mencecah RM10,000 sebulan.
“Makan tengah hari biasa mencecah RM60, dan kos pengangkutan awam boleh melebihi RM600 sebulan. Itu belum termasuk insurans kesihatan yang mencecah ratusan dolar.
“Inilah perbezaan antara pendapatan nominal dan Purchasing Power Parity (PPP),” katanya.
Abdul Aziz berkata pendapatan per kapita Malaysia secara nominal mungkin sekitar USD13,000, tetapi apabila diselaraskan mengikut PPP, nilainya menghampiri USD37,000.
Ini bermakna rakyat Malaysia mampu membeli lebih banyak barangan dan perkhidmatan domestik berbanding yang disangka, katanya.
“Ramai rakyat Malaysia masih mampu melancong, memiliki telefon pintar, menikmati makanan luar dan minuman berjenama. Kita bukanlah masyarakat mewah, tetapi kita tahu menyesuaikan kehidupan dengan pendapatan yang ada.
“Kesimpulannya: kekayaan bukan hanya pada angka, tetapi pada kemampuan mengurus dan menikmati hidup dengan bijak,” kata beliau.