SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Hj Nasir berkata Kem A-PLUS sebagai platform yang bukan sahaja membentuk kepimpinan tetapi juga membina keyakinan dan jati diri.
Beliau menjelaskan Kem A-Plus ini juga mempu menjadikan para peserta tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial dan menghindari kegiatan yang tidak berfaedah merugikan masa depan mereka.
“Saya difahamkan di kem ini, terdapat 100 orang pelajar dari 7 buah sekolah menengah dari Parlimen Libaran menyertai Kem A-Plus selama tiga hari dua malam.
“Para peserta diuji secara fizikal, mental, cabaran kumpulan, latihan komunikasi dan semuanya bertujuan untuk membentuk keberanian serta kecekalan diri,” katanya ketika merasmikan Kem Latihan Kepimpinan Kem A-Plus 2025 bertemakan Aspirasi Peogran Lestari Unggul dan Survival Peringkat Kebangsaan di Aisyadelia Cottage Batu 14 Sandakan, Isnin.
Suhaimi berkata peserta perlu memanfaatkan program seumpama ini dalam memperolehi ilmu sebaiknya. Kejayaan sebenar bukan diukur dengan berapa tinggi kita mendaki, tetapi sejauh mana kita memanfaatkan kejayaan itu untuk agama, bangsa, dan tanah air.
“Jika mahu jadi insan luar biasa, jalannya tidak mudah. Akan ada cabaran, ujian, kata-kata yang melemahkan semangat.
“Tapi jangan gentar. Allah tentukan setiap perjalanan hidup kita dengan hikmah yang tersendiri,” katanya.
Beliau berkata ada masanya kita jatuh, ada masanya kita diuji tapi yang paling penting ialah bangun semula dan terus melangkah.
Suhaimi mengharapkan para peserta sedar bahawa perjalanan menuju impian bukan tentang siapa yang tiba dahulu tetapi yang mampu bertahan walau sesukar mana pun laluan dilalui.
“Pilih kawan yang betul, yang membina semangat dan bukan yang melemahkan. Jangan takut untuk bermimpi besar, kerana setiap kejayaan yang kita lihat hari ini bermula dengan satu impian.
“Yang membezakan mereka yang berjaya dan tidak adalah siapa yang berani untuk terus berjuang,” katanya.
Suhaimi menasihati para peserta agar jangan kecewa keputusan SPM tak cemerlang, sebaliknya terus berusaha memperbaiki diri dan teruskan berjuang.
Beliau yakin para peserta akan pulang dengan semangat yang lebih kuat, lebih percaya kepada diri sendiri, dan lebih bersedia untuk menghadapi masa depan.
“Semoga para peserta menjadi pemimpin yang bukan sekadar berjaya untuk diri sendiri, tetapi juga membawa manfaat kepada orang lain.