KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya rakyat Sabah berpijak di bumi nyata dan menerima hakikat bahawa realiti politik Sabah dan Sarawak berbeza.
Oleh itu, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyeru rakyat negeri ini supaya tidak terikut-ikut naratif songsang.
“Ada cubaan mahu pisahkan BN dan PH di Sabah. Kononnya PH boleh diterima, BN tidak. Ini tidak logik.
“BN dan PH adalah tunjang kerajaan Madani di peringkat pusat. Mustahil dipisahkan kerana matlamat mereka sama — kestabilan, pembangunan, dan masa depan rakyat,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata jika mahu ikut model Sarawak, semua parti nasional, termasuk BN dan PH, harus ditolak.
“Tetapi Sabah berbeza. Di sini, kestabilan datang daripada kerjasama BN, PH, dan parti tempatan,” katanya.
Menurut Salleh, apa yang penting
sekarang ialah kestabilan dan masa depan rakyat, bukan politik perpecahan.
“Kestabilan bukan datang dari memilih sebelah, tetapi dari berpadu atas matlamat bersama,” katanya.