Sumbangan dari Victor P Paut bakal suntik semangat pasukan ragbi PDRM Sabah bertarung di Negeri Sembilan

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu & Borneo Samudera Sd.Bhd Dato Victor P. Paut yang sentiasa peka perkembangan sukan ragbi menyampai sumbangan peribadi RM10,000 kepada Pasukan Ragbi PDRM Kontinjen Sabah hari ini.

Sumbangan itu diyakini mampu menyuntik semangat kepada para penain ragbi PDRM kontingen Sabah yang bakal bertarung di Kejohanan Ragbi Ketua Polis Negara 2026 di Negeri Sembilan selama empat hari bermula 10 Jun.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan itu di Menara Kinabalu, dekat sini,  Victor berkata sumbangan dana itu diharap dapat membantu meringankan sedikit kos pembelian tiket kapal terbang untuk perjalanan pasukan menyertai kejohanan tersebut. 

“Sebagai warga Sabah, kita seharusnya berbangga dengan pencapaian pasukan PDRM Sabah ini yang pernah berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dalam kejohanan yang sama pada tahun lepas.

“Inisiatif ini diharapkan akan dapat menyuntik semangat pasukan kita kali ini untuk meraih kemenangan lagi dan seterusnya mengharumkan lagi nama Polis Sabah di persada tanahair,” katanya.

Victor yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat N39 Tambunan, berkata

kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri juga sudah melaksanakan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah sejak tahun 2021 lagi yang memberikan fokus kepada pembangunan bakat akar umbi, penaiktarafan fasiliti sukan dan penggilapan atlet untuk pentas Sukan Malaysia (SUKMA) serta antarabangsa.

“Adalah diharapkan agar kejayaan Pasukan Ragbi PDRM Kontinjen Sabah ini, menjadi contoh terbaik kepada pasukan-pasukan ragbi muda belia di negeri kita ini pada masa akan datang,” katanya.

Victor percaya misi itu boleh direalisasikan sepenuhnya lebih-lebih lagi tatkala Sabah mendapat penambahan nilai interim RM1.5 Billion seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, akan menjadikan pembangunan sukan diletakkan menjadi salah satu dalam keutamaan untuk mendapat penjanaan dana tambahan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Pasukan Ragbi Sabah, Supt. Rizal Izman Mansor, ⁠Jurulatih Pasukan, Insp. Muhd Emir Hanafi bin Ibrahim, Sjn Mohd Fazarul Helmi bin Othman, ⁠Sjn Rozaini Risham bin Md  Razali, ⁠Kpl Marcel Roma Mathew Matius, ⁠L/Kpl Mohd Zaki Akmal bin Razali dan anggota pasukan yang lain.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles