SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menyambut baik usaha mempelbagaikan aktiviti sukan di Kompleks Sukan Sandakan.
Terbaru, aktiviti riadah air yang di usahakan pengusaha muda di daerah ini.
Jelasnya, aktiviti seumpama juga di lihat satu aktiviti yang sihat di mana pengunjung dapat meluangkan masa bersama keluarga dan rakan selain dalam masa yang sama melakukan senaman melalui aktiviti kayuhan bot di air.
Dalam masa yang sama, pihaknya juga berharap keselamatan pengunjung yang melakukan aktiviti riadah sukan air itu sentiasa dititikberatkan agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan aktiviti sukan air dan riadah HR Aquasport di Kompleks Sukan Sandakan pada Selasa.
Ia diusahakan pasangan suami isteri muda, Hazuezzah Hassan dan suaminya, Hafiz Jakiri yang antara lain mahu mengimbas kenangan kanak-kanak seperti riadah sukan air yang pernah ada dan terkenal di Taman Hiburan Jalil Alip, Batu 14 suatu ketika dahulu.
Dalam perkembangan mengenai kemudahan Kompleks Sukan Sandakan, Vivian berharap peruntukkan RM11 juta yang diumumkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini bagi kerja naiktaraf beberapa fasiliti sukan di kompleks ini dapat disiapkan mengikut keperluan semasa.
Manakala baru-baru ini juga ada lawatan dari Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, juga diharap memberi impak kepada kemudahan di kompleks sukan itu.
Dalam masa yang sama, terdapat keperluan bagi menambah lampu di kawasan kompleks sukan itu yang juga menjadi kawasan riadah aktiviti joging dan berjalan khasnya penduduk sekitar.
Dalam perkembangan sama, pihaknya juga berharap pengunjung juga peka dan tidak membuang bekas makanan atau sampah di kawasan kompleks sukan itu dan tasik agar ia sentiasa bersih dan selesa untuk dikunjungi.
