KOTA KINABALU – Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), yang diwakili oleh Pengarah Eksekutif, Datuk Dexter Lau, dengan berbesar hati mengumumkan pelancaran Jelajah Iftar 2025 dengan kerjasama Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah.
Jelajah ini meliputi 25 lokasi di seluruh Sabah, bermula di Kudat pada 4 Mac 2025 dan berakhir di Papar pada 28 Mac 2025.
Anggaran sejumlah 25,000 orang termasuk golongan asnaf, orang kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim piatu dan golongan B40 menerima sumbangan wang saku raya dan bakul makanan.
Selain itu, seramai 850 kanak-kanak akan diraikan dengan aktiviti “Shopping Raya”, di mana mereka akan dibawa membeli-belah pakaian Raya di Pasaraya.
Sumbangan ini bukan sekadar menyantuni golongan memerlukan tetapi juga membawa keriangan kepada kanak- kanak dan mengurangkan bebanan ibu bapa atau penjaga menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Datuk Dexter, seperti tahun lalu, program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang bertujuan membantu mengurangkan bebanan golongan kurang bernasib baik serta anak-anak yatim sepanjang bulan Ramadan.
Melalui program ini, mereka akan menerima bantuan makanan berkhasiat untuk berbuka puasa serta sumbangan keperluan asas
bagi membantu meringankan beban sepanjang bulan yang mulia ini.
Beliau juga menegaskan bahawa komitmen KTC dalam membantu masyarakat tidak terhad kepada bulan Ramadan sahaja. Sebelum ini, beliau telah banyak menyalurkan sumbangan kepada mereka yang ditimpa musibah, termasuk mangsa kebakaran, mangsa banjir, serta penyediaan bakul makanan kepada penduduk semasa pandemik.
Datuk Haji Awang Kadin, Pengarah UPPM Negeri Sabah berkata, Jelajah Iftar tahun kedua ini, mencerminkan usaha berterusan KTC dalam memastikan sumbangan sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan KTC dapat terus menjadi pemangkin dalam usaha kebajikan dan menjadi contoh kepada syarikat lain untuk turut menyumbang kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Mengenai Kim Teck Cheong: KTC ialah pengedar terkemuka dan menyediakan penyelesaian FMCG (Fast Moving Consumer Goods) di Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia. Sejak ditubuhkan pada tahun 1938, KTC yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Sabah, terus komited dalam membekalkan produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan pengedaran yang cekap kepada masyarakat.