TAWAU : Pengumuman pelantikan Datuk Victor Sanjos sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu bagi menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang bakal bersara wajib pada 11 November ini disifatkan sebagai perkembangan positif khususnya dalam usaha memperkukuh kepimpinan dan pengurusan keselamatan di negeri ini.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, pengalaman luas Victor dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghampiri tiga dekad termasuk penglibatan secara langsung dalam aspek keselamatan Sabah menerusi Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), menjadi antara kelebihan yang boleh dimanfaatkan dalam menerajui Kontinjen Sabah.
Menurutnya, pengalaman Victor sebagai Komander ESSCOM sejak 2023 memberikan beliau pendedahan mendalam mengenai landskap keselamatan Sabah terutama cabaran keselamatan di kawasan Pantai Timur yang berhadapan dengan pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan.
“Beliau bukanlah individu asing dalam arena keselamatan Sabah. Sebaliknya, beliau mempunyai pengalaman dan pemahaman secara langsung mengenai cabaran keselamatan negeri ini, khususnya ketika menerajui ESSCOM.
“Saya melihat pengalaman tersebut sebagai satu kelebihan kerana beliau sudah memahami keperluan memperkukuh kawalan keselamatan, meningkatkan keupayaan risikan, mempererat kerjasama antara agensi penguatkuasaan serta membina keyakinan masyarakat terhadap pasukan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman Victor dalam bidang siasatan jenayah komersial, jenayah siber dan teknologi keselamatan turut menjadi nilai tambah dalam menghadapi cabaran jenayah moden yang semakin kompleks.
Katanya, kepimpinan Polis Sabah pada masa ini memerlukan pendekatan yang lebih dinamik, bersepadu dan responsif terhadap perubahan corak jenayah serta keperluan keselamatan masyarakat.
Mengulas lanjut, Mohd. Zaki berkata, perkara yang turut menarik perhatian ialah latar belakang Victor sebagai anak jati Keningau, Sabah, sekali gus menjadikan pelantikan beliau sebagai satu perkembangan bermakna dalam konteks pengiktirafan bakat dan kepimpinan anak tempatan.
Katanya, perkembangan itu selari dengan semangat Borneonisasi yang menekankan kepentingan memperluas peluang kepada anak Sabah dan Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan serta pentadbiran negara.
“Semangat Borneonisasi bukan sekadar berkaitan soal siapa yang memegang sesuatu jawatan tetapi turut membawa mesej bahawa anak tempatan mempunyai keupayaan, pengalaman, kepakaran dan kelayakan untuk menggalas tanggungjawab besar dalam institusi nasional.
“Sabah mempunyai ramai pegawai dan profesional yang berpengalaman serta berkemampuan. Justeru, peluang kepada anak tempatan untuk menerajui institusi penting seperti PDRM di peringkat negeri merupakan satu perkembangan yang wajar diberikan perhatian,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa semangat tersebut mempunyai kaitan dengan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam memperkukuh penyertaan dan peranan anak Sabah dalam pelbagai sektor pentadbiran serta pembangunan negara.
Bagaimanapun, katanya, Borneonisasi perlu dilaksanakan berasaskan merit, kelayakan, pengalaman, integriti dan kemampuan seseorang pegawai, bukannya semata-mata faktor tempat kelahiran.
Dalam pada itu, Mohd. Zaki berharap kepimpinan baharu Polis Sabah dapat meneruskan kesinambungan usaha memperkukuh keselamatan negeri, terutama di kawasan Pantai Timur yang mempunyai kepentingan strategik dari aspek kedaulatan, ekonomi, pelancongan dan keselamatan rakyat.
Menurutnya, kerjasama erat antara PDRM, ESSCOM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan setiap ancaman keselamatan dapat ditangani secara bersepadu.
“Isu keselamatan Sabah tidak boleh dilihat secara terpisah mengikut bidang kuasa agensi semata-mata. Ia memerlukan koordinasi, perkongsian maklumat risikan dan tindakan operasi yang pantas serta berkesan.
“Pada masa sama, pendekatan kepolisan komuniti perlu diperkasakan supaya masyarakat bukan sahaja melihat polis sebagai agensi penguatkuasaan, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam menjaga keselamatan kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan meneruskan usaha membanteras penyalahgunaan dadah, pengedaran dadah, jenayah terancang dan pelbagai kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, aspek pencegahan perlu diberikan perhatian sama penting dengan tindakan penguatkuasaan kerana keselamatan sebenar bukan hanya diukur melalui kejayaan menangkap penjenayah, tetapi juga keupayaan mengurangkan risiko jenayah dan melindungi masyarakat.
Mohd. Zaki turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Jauteh Dikun atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan sepanjang lebih 32 tahun berkhidmat dalam PDRM, khususnya ketika menerajui Kontinjen Sabah.
“Saya percaya pengalaman dan legasi kepimpinan yang ditinggalkan Datuk Jauteh perlu diteruskan, manakala kepimpinan baharu pula mempunyai ruang untuk membawa pendekatan serta penambahbaikan bersesuaian dengan cabaran semasa.
“Kepada Datuk Victor Sanjos, saya berharap beliau dapat meneruskan khidmat dengan penuh integriti, profesionalisme dan komitmen demi keselamatan serta kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan negeri bukan tanggungjawab PDRM semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan kerajaan, agensi penguatkuasaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh masyarakat.
“Akhirnya, apa yang rakyat Sabah harapkan ialah sebuah pasukan polis yang profesional, berintegriti, dekat dengan masyarakat dan sentiasa bersedia mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negeri ini.”
