KOTA BELUD: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony berkata, parti itu kini semakin mendapat sokongan luar biasa termasuk di kawasan yang bukan majoriti KDMR (Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus).
Katanya, KDM itu mendapat banyak permintaan agar parti itu melebarkan sayapnya termasuk di kawasan majoriti Muslim.
“Sebelum ini saya mengumumkan KDM akan bertanding lebih 30 kerusi terutama di kawasan majoriti KDMR, tetapi dengan melihat keadaan sekarang, kami mendapat banyak permintaan…tidak mustahil kerusi yang kami akan tandingi mencecah 50 kerusi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) DUN Kadamaian, di Kampung Bukid, di sini, pada Ahad,
Sementara itu, Peter menyatakan keyakinannya, apapun keputusan berhubung kes mahkamah beliau pada 27 November depan tidak akan mengubah sokongan rakyat terhadap parti itu.
Katanya, beliau bersama pimpinan tertinggi KDM sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serta mempunyai perancangan lain sekiranya keputusan mahkamah tidak menyebelahinya.
“Apapun keputusan mahkamah pada 27 November nanti, saya yakin sokongan rakyat kepada KDM tidak akan pudar malah semakin kuat.
“Kita sendiri boleh lihat, apabila kami membuat siri jelajah ke bahagian atau kawasan, sambutan sangat-sangat memberangsangkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau percaya, perebutan kerusi di kalangan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi kelebihan kepada KDM yang telah memutuskan untuk bergerak secara solo pada PRN17.