TUARAN: Baja biasanya diperlukan bagi memastikan tumbihan seperti tanaman sayur dan tanaman berbuah hidup subur dan mengeluarkan hasil yang lebat.
Terdapat dua jenis baja iaitu baja kimia dan baja organik.
Baja kimia dikatakan bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan, ia juga memberikan kesan yang tidak baik kepada alam sekitar.
Maka tidak hairanlah, ada yang menyarankan petani beralih kepada baja organik.
Menyedari hal itu, Kebun Roselle Borneo dengan kerjasama Keningau Nature Farm telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pembuatan Baja Organik (Pepejal dan Cecair) menggunakan EM ) Effective Microb) Teknologi Jepun dan Kulat Secara Organik di Tamparuli baru-baru ini.
Kursus sehari itu dikendalikan oleh Jason Wong yang merupakan Penerima Anugerah Usahawan Tani Cemerlang di Sabah.
Menurut penceramah itu, kursus berkenaan antara lain bertujuan
meningkatkan sosio economi penduduk setempat melalui ilmu pertanian technologi Jepun.
Ia juga bermatlamat meningkatkan hasil tanaman dan ternakan selain mengurangkan pergantungan baja kimia yang semakin mahal.
Jason berkata daripada segi keuntungan, penggunaan baja organik diyakini dapat meningkatkan hasil tuaian.
Beliau berkata antara kebaikan baja organik ialah meningkatkan kesuburan tanah, membekalkan pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan secara perlahan-lahan dan berterusan.
“Baja organik juga adalah produk semula jadi yang tidak mengandungi bahan kimia berbahaya, mengurangkan pencemaran tanah dan air serta risiko kepada kesihatan manusia dan haiwan,” katanya.
Selain itu, Jason berkata penggunaan baja organik membantu dalam pengurusan sisa organik, mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan dan mengitar semula nutrien ke dalam sistem pertanian.