TUARAN: Tindakan membuang bangkai ternakan ke sungai tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil atau isu kecil, kata
Pengerusi Kempen Kesedaran Awam Anti Pencemaran Sungai Sabah Gundohing Simon Malubi .
Sebaliknya, beliau berkata ia dilihat sebagai ancaman serius terhadap kesihatan awam, keselamatan makanan dan sumber air rakyat Sabah.
Menurutnya perkara itu wajar diberi perhatian susulan penemuan bangkai ternakan terapung di sungai yang dipercayai digunakan sebagai sumber air pertanian dan kegunaan komuniti setempat.
Menurut pemerhati dan aktivis komuniti, perbuatan sedemikian menunjukkan masih terdapat pihak yang terlalu mementingkan keuntungan sehingga sanggup mengabaikan keselamatan sumber air awam.
“Sungai bukan tong sampah dan bukan tapak pelupusan bangkai ternakan.
“Ini bukan sahaja mencemarkan sungai, tetapi boleh menyebabkan penyebaran bakteria berbahaya, peningkatan ammonia serta risiko penyakit kepada manusia, ternakan dan tanaman makanan,” katanya.
Simon berkata, kesan pencemaran sungai akhirnya akan ditanggung oleh rakyat biasa khususnya petani kecil, pengusaha kebun, nelayan sungai dan penduduk kampung yang bergantung kepada sumber air semula jadi.
Tambah beliau, Sabah tidak boleh bercakap soal keterjaminan makanan dan peningkatan hasil pertanian jika isu keselamatan sumber air terus dipandang ringan.
“Kerajaan bercakap soal hasil pertanian, tetapi dalam masa sama sumber air untuk pertanian dibiarkan terdedah kepada pencemaran.
“Bagaimana petani mahu menghasilkan makanan yang selamat jika sungai dicemari bangkai ternakan dan sisa kumbahan?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan lebih agresif termasuk:
-siasatan segera terhadap punca pencemaran,
-pemantauan berkala sungai,
-ujian makmal kualiti air,
-pendakwaan terhadap pelaku,
-serta hukuman lebih berat kepada pihak yang mencemarkan sungai.
Katanya, tindakan ringan hanya akan menyebabkan kesalahan sama terus berulang kerana ada pihak melihat denda kecil sebagai “kos operasi”.
“Keselamatan air bukan isu kecil. Air adalah sumber kehidupan rakyat, pertanian dan masa depan Sabah.
“Jika sungai terus dicemari, rakyat akhirnya yang menanggung akibat — dari sudut kesihatan, ekonomi dan keselamatan makanan,” katanya.
Simon turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan sistem Pensijilan Sumber Air Bersih dan Selamat bagi kawasan pertanian untuk melindungi pengguna dan membantu petani mendapatkan pensijilan seperti MYGAP serta MyOrganic.
“Air Bersih dan Selamat Adalah Hak Rakyat Sabah.”
