RM2 juta peruntukan awal Program JEJAK, bantu koperasi pelancongan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026 : Ewon

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM2 juta peruntukan awal disediakan bagi Bantuan Insentif Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) tahun ini.

Advertisements

Beliau berkata, bantuan insentif itu adalah antara usaha untuk menyokong dan merangsang perniagaan koperasi khususnya dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf, melalui promosi dan pemasaran produk serta perkhidmatan koperasi bagi merancakkan semula aktiviti dan industri pelancongan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus menyokong penglibatan koperasi dalam industri pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Ini juga sebagai persediaan koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia Tahun 2026 yang telah diumumkan oleh kerajaan di dalam Belanjawan 2024 dengan sasaran untuk menarik pelancong sebanyak 26.1 juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) 2024-2025, di Homestay Banghuris, Koperasi Bersatu Maju Hulu Chuchoh Berhad Sungai Pelek, Selangor, di sini, hari ini.

Ewon berkata, penglibatan koperasi dalam aktiviti pelancongan yang meliputi agensi pelancongan, perhotelan, rumah penginapan, homestay, restoran, perkhidmatan pengangkutan termasuk teksi, bas, kereta sewa dan wedding village telah menunjukkan penglibatan yang aktif dari tahun ke tahun.

“Statistik tahun 2023 menunjukkan sebanyak 215 koperasi terlibat dalam sektor ini di seluruh negara dan berjaya menyumbang perolehan RM880 juta.

“Saya berharap agar semua koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan dan kraf ini mempunyai strategi yang baik dalam usaha untuk terus mengembangkan perniagaan serta sama-sama merancakkan lagi industri pelancongan di negara kita.

“Koperasi harus mengambil kesempatan dengan kurniaan yang ada dalam komuniti masing-masing seperti keindahan alam sekitar, warisan sejarah, keunikan budaya dan kesenian, kepintaran kerja tangan masyarakat untuk dijadikan sebagai daya penarik pelancong dan produk koperasi,” katanya.

Ewon turut menyatakan selain peruntukan awal khas RM2 juta tersebut, koperasi-koperasi pelancongan juga boleh memohon geran di bawah Program Bantuan Pembangunan Koperasi di mana sebanyak RM6.75 juta peruntukan disediakan pada tahun ini dan juga boleh memohon Tabung Modal Pusingan Koperasi di mana peruntukan sebanyak RM100 juta telah disediakan.
 
Beliau berkata, secara keseluruhannya perkembangan gerakan koperasi terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Pada tahun 2023, keanggotaan koperasi seramai 7.22 juta orang, dengan jumlah koperasi berdaftar sebanyak 15,809, dengan aset RM165.89 bilion, syer dan yuran RM17.44 bilion serta perolehan RM64.56 bilion.

“Pencapaian perolehan sebanyak RM64.56 bilion pada tahun 2023 melangkaui sasaran Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2025 iaitu sebanyak RM60 bilion.

“Kita yakin menjelang tahun 2030 perolehan koperasi boleh mencecah RM100 bilion melangkaui sasaran DaKoM 2030 sebanyak RM73 bilion,” katanya.
 
Ewon berkata, KUSKOP melalui SKM sentiasa komited memastikan gerakan koperasi terus bersaing dalam menyumbang kepada peningkatan taraf hidup sosioekonomi anggota dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat khususnya kepada anggota koperasi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles