PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian menetapkan had umur belia sehingga 40 tahun dengan mengambil kira realiti geografi dan sosioekonomi negeri, khususnya keperluan pembangunan golongan belia di luar bandar dan pedalaman.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keputusan Kabinet Negeri itu penting bagi memastikan golongan berusia antara 31 hingga 40 tahun terus mendapat akses kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan pelbagai program pembangunan belia.
Katanya, golongan berkenaan juga mempunyai pengalaman, kemahiran dan potensi yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan komuniti serta kemajuan negeri.
Beliau turut menghargai pujian Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid terhadap keputusan Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun.
Nizam berkata demikian dalam kenyataan media selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang IV, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 di Putrajaya, pada Selasa.
Persidangan itu dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Menurut Nizam, pendirian Kerajaan Negeri itu akan diterjemahkan menerusi cadangan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelak.
Cadangan enakmen berkenaan turut bertujuan memperkukuh pengurusan pertubuhan belia serta menyediakan landasan yang lebih sistematik dan menyeluruh bagi pembangunan generasi muda di negeri ini.
Dalam pada itu, Nizam turut memberi perhatian terhadap isu tambang penerbangan yang tinggi bagi perjalanan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.
Katanya, kos tambang penerbangan yang tinggi menjadi antara kekangan kepada golongan belia untuk mengikuti pengajian, latihan kemahiran, program pembangunan dan urusan rasmi di Semenanjung Malaysia.
Cadangan memperkenalkan kadar tambang penerbangan khas untuk golongan belia merupakan antara lima usul yang dibangkitkan pada persidangan MPBN peringkat Sabah baru-baru ini.
Beliau berkata, kementeriannya akan membuat tindakan susulan dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan bagi meneliti mekanisme yang bersesuaian untuk mengurangkan beban kos perjalanan golongan belia, termasuk cadangan memperkenalkan kadar tambang khas.
Persidangan itu turut membincangkan isu keselamatan digital, kemudahan penjagaan kanak-kanak bagi keluarga muda serta cadangan mewujudkan hab pembangunan belia di setiap daerah.
Nizam menegaskan bahawa aspek kebolehcapaian perlu diberikan keutamaan dalam pelaksanaan hab pembangunan belia di Sabah, dengan mengambil kira keluasan geografi, jarak perjalanan dan keperluan masyarakat setempat.
Ini bagi memastikan golongan belia di bandar, luar bandar dan pedalaman mendapat peluang yang saksama untuk mengikuti arus pembangunan tanpa dibatasi faktor geografi dan kedudukan ekonomi.
