Masyarakat Ranau diseru bersama jayakan usaha capai sasaran Program I-HIJAU

RANAU: Pegawai Daerah, Tinus Manggam menyeru masyarakat Ranau untuk bersama-sama mengambil peranan dan memberi kerjasama dalam usaha mencapai sasaran Program I-HIJAU demi menjaga kelestarian persekitaran.
 
Beliau membuat seruan tersebut ketika merasmikan Program Jelajah I-HIJAU Di Ranau: Ke Arah Kod Hijau Sabah 2024 di Tapak Tamu Ranau, kelmarin.
 
Beliau berkata, program yang julung kali diadakan di Ranau ini adalah sebuah platform melibatkan semua masyarakat di daerah ini untuk sama-sama menyediakan tindakan kolektif demi usaha menjaga kelestarian landskap persekitaran.

Advertisements

“Sesungguhnya dengan kehadiran semua pihak menunjukkan komitmen dan semangat kecintaan kita terhadap daerah Ranau,” katanya.

Menurut beliau, program Jelajah I-HIJAU ini merupakan kesinambungan program I-HIJAU Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) 2024 yang telah dilaksanakan pada 27 Februari yang lalu sebagai usaha penghijauan dan kelestarian persekitaran bermula daripada platform top down – bottom up.

“ia adalah untuk membolehkan kita mengenal pasti isu, kaedah mengatasi secara amalan lestari.

“Program ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) adalah agenda United Nations sejak awal 2015 merangkumi 17 matlamat bagi mencapai resolusi “Mengubah Dunia Kita: Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan”, iaitu satu resolusi bersama antara kerajaan daripada 193 negara,” jelasnya.
 
Tinus berkata, masyarakat dunia sedang berdepan dengan krisis alam sekitar secara global dan kadar perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sehubungan dengan itu, setiap hari kita sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi kemungkinan ancaman bencana alam atau situasi yang ditakrifkan sebagai ‘Kod Merah’ akibat cuaca yang extreme.
 
“Masyarakat sebenarnya sudah semakin sedar akan perubahan iklim dan pemanasan global ini. Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (MET Malaysia), mentakrifkan perubahan iklim ini adalah antara lain disebabkan oleh aktiviti manusia secara langsung atau tidak langsung yang mengubah komposisi atmosfera global (pertambahan karbon dioksida berlebihan mengakibatkan pemanasan dan kehilangan ozone).
 
“Dalam usaha menangani perubahan iklim, kita perlu melaksanakannya secara bersepadu dan seimbang. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua pihak dalam usaha memastikan kelestarian generasi sekarang dan pada masa hadapan. Kita percaya bahawa kunci untuk menyelesaikan krisis iklim adalah terletak pada pengurangan pelepasan gas karbon dioxide dan mengtransformasi masyarakat bagi menjaga kelestarian alam sekitar.”
 
Justeru itu, beliau melihat program ini amatlah bersesuaian sebagai suntikan kepada masyarakat khususnya di Ranau bagi mencapai masyarakat berdaya huni selari dengan visi KKTP iaitu Ke Arah Memacu Pembangunan Mampan dan Mencapai Kesejahteraan Masyarakat.

“Saya percaya program seperti ini amat penting dan berfungsi sebagai platform untuk bertukar idea, dialog, kajian dan rangkaian dengan pakar agar dapat mempelajari amalan terbaik bagi menangani isu global masa kini.
 
“Selain itu, bagi mencapai matlamat pembangunan mampan, integrasi elemen HIJAU perlu diambil kira dalam penyediaan pelan landskap. Landskap bukan sekadar menanam pokok. HIJAU yang dimaksudkan di sini tidak hanya terhad dengan mewujudkan ruang hijau atau taman, tapi elemen fizikal lain seperti taman atas bumbung, sistem penuaian air hujan, penggunaan bahan binaan mesra alam dan penjanaan tenaga boleh diperbaharui melalui sistem kecekapan tenaga solar,” katanya.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha (Landskap), mewakili Setiausaha Tetap, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, LAr. Nurulhayati Awang More dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer Endra M Sator, Ketua Daerah Ranau, OKK Dominic Ganie; Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles