Tekun Cawangan Telupid bantu 819 usahawan dengan pembiayaan lebih RM18.73 juta

TELUPID: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Tekun Nasional cawangan Telupid berjaya membantu seramai 819 usahawan di daerah ini melibatkan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM18,733,819.73 juta sejak Januari 2002 hingga Disember 2023.

Advertisements

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 249 usahawan menerima pembiayaan sejumlah RM12,617,000 sejak April hingga Disember tahun lalu.

“Setakat hari ini Tekun cawangan Telupid telah melahirkan seramai 819 usahawan sejak pejabat ini ditubuhkan di sini dengan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM18.7 juta.

“Ini satu jumlah yang besar dan saya amat yakin ia telah membantu meningkatkan lagi ekonomi para usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama usahawan-usahawan Tekun di sekitar Pekan Telupid, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus TEKUN Negeri Sabah Hemin Osumping, Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional Rowindy Lawrence, Pemangku Pengurus Tekun Cawangan Telupid Rozita Tiara Marium dan para pemimpin masyarakat daerah ini.

Mengenai pertemuan dengan usahawan-usahawan Tekun Telupid, Ewon berkata, pelbagai cadangan telah diterima antaranya keperluan tambahan kakitangan di Pejabat Tekun Telupid bagi mempercepatkan lagi urusan-urusan para usahawan.

“Sepanjang pertemuan saya dengan usahawan Tekun hari ini, saya mendengar beberapa cadangan mereka antaranya pengisian atau tambahan kakitangan pejabat dan saya difahamkan ia akan diisi pada bulan depan.

“Saya berharap ini (penambahan kakitangan) akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada usahawan di daerah ini,” katanya.

Setakat ini Pejabat Tekun cawangan Telupid hanya mempunyai dua kakitangan iaitu seorang pengurus dan seorang pembantu pegawai.

Ketika ditanya mengenai program baharu yang akan dilaksanakan oleh kementeriannya tahun ini, Ewon berkata, beliau akan melancarkan Pakej Rangsangan Koperasi Pelancongan dan Projek Tamu Desa.

“Saya amat yakin kita dapat menjana minat rakyat berkoperasi terutama yang terlibat dalam aktiviti pelancongan dengan adanya tambahan inisiatif yang akan dilaksanakan tahun ini.

“Selain itu kita juga akan memulakan pembinaan gerai-gerai desa di bawah Projek Tamu Desa yang mana sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2024 khas untuk Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya inisiatif-inisiatif baharu ini akan memberikan manfaat kepada koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan di seluruh negara dan juga kepada usahawan secara keseluruhannya.

Berkenaan dengan prestasi koperasi tahun lalu, Ewon berkata, buat pertama kalinya pendaftaran koperasi di seluruh negara meningkat hampir dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Sepanjang tahun lepas sebanyak 1,001 koperasi baharu telah didaftarkan. Ini merupakan rekod tertinggi pendaftaran koperasi pernah kita capai berbanding sebelumnya yang secara purata sekitar 600 setiap tahun.

“Peningkatan hampir dua kali ganda ini adalah hasil usaha kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melaksanakan Program Merakyatkan Koperasi di seluruh negara,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles