Ahli Parlimen Tuaran Minta Kegunaan Tambahan RM3.3 Juta ESSZONE Diperincikan, Mahu Penyelenggaraan Aset Dipastikan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mahu penjelasan mengenai penggunaan peruntukan tambahan RM3.3 juta bagi pengoperasian Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), khususnya berkaitan penyelenggaraan bot dan peralatan pengawasan keselamatan.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memohon peruntukan sebanyak RM133.45 juta bagi pengoperasian ESSZONE pada 2027, dengan peningkatan sebanyak RM3.3 juta yang diperuntukkan untuk perkhidmatan dan bekalan.

“Peningkatan keupayaan operasi keselamatan di kawasan pantai timur Sabah memerlukan sokongan aset yang mencukupi, termasuk bot rondaan dan peralatan pengawasan bagi memastikan pemantauan kawasan pulau serta pesisir dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya meminta penjelasan secara khusus mengenai jumlah daripada peruntukan tambahan itu yang akan digunakan untuk penyelenggaraan bot dan peralatan pengawasan,” katanya.

Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi MINDEF sempena perbahasan di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kesinambungan sokongan operasi kepada anggota keselamatan yang bertugas di laut susulan pengambilalihan peranan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan pada Jun lalu.

“Saya mahu mengetahui sama ada pertukaran pangkalan hadapan itu dapat mengekalkan tahap sokongan kepada anggota yang menjalankan tugas di kawasan operasi, selain mendapatkan penjelasan mengenai kos tahunan pengoperasian kapal berkenaan.

“Melalui Operasi PASIR, Angkatan Tentera Malaysia memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan pulau dan kawasan pesisir serta melaksanakan rondaan bagi membendung sebarang ancaman keselamatan,” katanya.

Madius menegaskan, keupayaan operasi ESSZONE perlu disokong dengan penyelenggaraan aset, peralatan pengawasan dan kemudahan yang mencukupi bagi memastikan anggota keselamatan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles