KOTA KINABALU: Perjuangan tanpa henti Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sama ada di luar atau dalam Parlimen bagi memastikan semua institusi pengajian tinggi (IPT) tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat dan hujung minggu akhirnya membuahkan hasil.
Menyedari kemurnian dan perlunya menghormati anutan agama pelajar yang bersembayang khususnya pada Sabtu (SDA) dan Ahad, anggota Parlimen Tuaran itu membulatkan tekad untuk membuat rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) termasuk di Parlimen untuk mengkaji semula dasar berkaitan peperiksaan
Rayuan terbuka seumpama ini belum pernah dibuat dalam sejarah Parlimen Malaysia.
Susulan rayuan itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan untuk melaksanakan dasar baharu supaya semua IPT di negara ini tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan Cuti Umum.
Dasar Pelaksanaan Takwim Peperiksaan di IPT itu dinyatakan dalam surat makluman kepada semua universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan di negara ini bertarikh 2 Sept dan 19 Sept lalu.
Surat makluman itu meminta semua UA dan IPTS menyusun jadual peperiksaan agar tiada peperiksaan dijadualkan pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Dalam surat edaran itu menyatakan, pelaksanaan dasar ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar menunaikan tanggungjawab agama yang jatuh pada hari berkenaan dan meluangkan masa cuti umum bersama keluarga dan rakan.
Bagaimanapun peperiksaan antarabangsa atau badan profesional dikecualikan kerana jadual peperiksaan tersebut ditentukan oleh penyedia peperiksaan pihak luar.
Ini selaras dengan Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 untuk memupuk dan membentuk individu yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang serta sebagai tanda toleransi dan menghormati antara satu sama lain.
Sementara itu, Madius menzahirkan ucapan terima kasih kepada KPM atas keputusan positif itu, sekali gus menggembirakan jutaan rakyat Malaysia.
“Sebelum ini, saya telah menerima keluhan para pelajar pelbagai agama yang terpaksa menduduki peperiksaan SPM/STPM, sebagai wakil rakyat saya terpanggil untuk berjuang membela nasib mereka, ” katanya.
Madius hberkata, ini kerana Jumaat adalah hari bagi penganut Islam menunaikan Solat Jumaat, manakala hari Sabtu adalah Sabbath-Day bagi rakyat yang beragama Seventh Day-Adventist (SDA) dan Gereja Yesus Benar (GYB), dimana mereka akan pergi menjalani ibadah di gereja.
“Ahad pula adalah hari bagi umat Kristian yang ada di Malaysia seperti penganut Roman Katolik, Anglican, Basel dan beberapa lagi dominasi yang lain ke gereja.
“Amalan menghormati pelajar tanpa mengira agama seharusnya bermula dari sekolah,’katanya.