Madius Tidak Pertahankan Jawatan Presiden UPKO, Sahkan Tanding Parlimen Tuaran

Kenyataan Media Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
 
PENAMPANG: Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kehadiran rakan-rakan media pada Sidang Media Khas Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada petang ini.
 
Untuk makluman, pada hari ini UPKO telah mengadakan satu Perjumpaan Khas bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian UPKO bertempat di Ibu Pejabat UPKO.
 
Setelah kita menghadapi kekangan untuk mengadakan Persidangan akibat pandemik COVID-19, maka pada tahun ini Majlis Tertinggi UPKO telah dengan sebulat suara menetapkan tarikh 15 dan 16 haribulan Oktober 2022 sebagai tarikh Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO yang ke-16 sekali gus berlangsungnya pemilihan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi bagi penggal yang baharu di dalam pucuk kepimpinan UPKO.
 
Kita sedia maklum bahawa keadaan politik negara kini adalah tidak stabil dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir.
 
Atas dasar tersebut, saya melihat bahawa UPKO perlu menyusun strategi baharu untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dalam keadaan politik yang tidak menentu ini. Untuk itu, UPKO akan mengetengahkan barisan kepimpinan baharu dengan perspektif segar, dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip asas perjuangan parti.
 
Keputusan ini telah dipersetujui dan mencapai kata sepakat untuk dilaksana setelah menilai tahap kesediaan pemimpin baru yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab menerajui UPKO. Dengan ini saya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UPKO bagi penggal yang akan datang ini.
 
Dengan ini, saya ingin umumkan bahawa Presiden UPKO yang baharu akan bakal diterajui oleh Naib Presiden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick.
 
Saya yakin dan percaya kepimpinan baru yang akan bakal diterajui oleh Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, akan memastikan UPKO terus fokus dan komited sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hal ehwal politik dan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi dalam menempuhi senario politik negara yang mana keterlibatan lebih ramai pengundi baru dan muda melalui pendaftaran automatik undi-18.
 
Pada masa yang sama, kesemua Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-ketua Bahagian, dan Presiden Kehormat Yang Berbahagia Tan Sri Bernard Dompok telah sebulat suara memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan Presiden Kehormat UPKO yang baharu. Saya akan mengalas kepercayaan dan tanggungjawab ini dalam terus membantu dan bekerjasama dengan kepimpinan UPKO yang baru.
 
Apa yang pasti, teraju kepimpinan UPKO akan lebih berfokus selepas ini. Selaku bakal Presiden UPKO yang baru dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick akan dapat menumpukan hal ehwal politik dan perjuangan UPKO di Sabah.
 
Manakala, saya sebagai Ahli Parlimen akan membantu menumpukan perhatian terhadap perjuangan UPKO sebagai peneraju perjuangan rakyat di peringkat politik nasional.
 
UPKO akan tetap memperjuangkan suara rakyat di peringkat politik Sabah dan nasional terutamanya melibatkan keputusan pembuatan dasar.
 
Untuk makluman, selain jawatan Presiden, pemilihan jawatan Timbalan Presiden UPKO turut tidak mengalami sebarang pertandingan pada kali ini. Timbalan Presiden disandang Ketua Bahagian UPKO Penampang, Yang Berbahagia Datuk Donald Peter Mojuntin.  
 
Pimpinan parti yakin dan bersetuju bahawa semua keputusan ini adalah langkah terbaik bagi seluruh warga UPKO dalam usaha untuk terus berjuang mengangkat suara rakyat. Dalam usaha kita meneruskan perjuangan, kita harus sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran terutama dalam keadaan landskap politik yang kompleks. UPKO perlu kekal kukuh sebagai parti tempatan yang mengutamakan perjuangan rakyat dan berfikiran progresif untuk maju ke hadapan.
 
Akhir sekali, pada kesempatan ini saya juga ingin mengumumkan bahawa saya akan bertanding mempertahankan Kerusi Parlimen P.170 Tuaran pada PRU15

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles