382 peserta jayakan Childhood Cancer Awareness 5km Walkathon sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-kanak

 
 
KOTA KINABALU – Seramai 382 peserta menjayakan Childhood Cancer Awarenesss 5km Walkathon baru-baru ini bersempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-kanak yang disambut pada bulan September setiap tahun.
 
Bertempat di padang kawad dan laluan sekitar UMS, program tersebut merupakan anjuran bersama Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Persatuan Kanser Kanak-kanak Sabah.
 
Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS,  Profesor Madya Dr. Raman Noordin.
 
Beliau yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor UMS berkata, penganjuran program itu turut menyaksikan penyertaan dalam kalangan pesakit kanser dan cancer survivor.
 
“Secara peribadi, saya sangat kagum dengan semangat dan penglibatan anda dan kita semua seharusnya memberi sokongan kepada kumpulan ini.
 
“Sehubungan dengan itu, besarlah harapan saya agar usaha-usaha sebegini dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat seiring dengan peningkatan gaya hidup yang sihat serta kesedaran terhadap penjagaan kesihatan,” ujarnya.
 
Program itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam berkaitan dengan kanser yang dihidapi oleh kanak-kanak serta menjana dana untuk disalurkan kepada Persatuan Kanser Kanak-kanak Sabah.
 
Turut menyertai program itu, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah HUMS, Profesor Dr. Helen Lasimbang; dan Presiden Kelab Rotary Teluk Likas yang juga Pakar Kanser Kanak-kanak HWKKS, Dr. Asohan Thevarajah.
 
Turut terlibat ahli Kelab Kebajikan dan Rekreasi HUMS, Kiwanis Club of Sabah, Kelab Rotaract UMS, Kelab Rotary Kota Kinabalu serta penaja-penaja program.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles