Oleh Tuan Supian Musa
LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah melancarkan inisiatif agar masyarakat memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi bagi menolak dan tidak mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah.
Komander ESSCOM Hamzah Ahmad berkata inisiatif itu dizahirkan melalui lafaz Ikrar Taat Setia Rakyat Zon Selamat Sabah Timur sempena Program Semarak ESSCOM Bersama-sama Warga Mukim Silam di Sekolah Kebangsaan Silam, dekat sini pada Sabtu.
Beliau berkata program itu disertai 1,000 orang yang terdiri daripada Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Kapitan Cina, Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pemimpin peringkat kampung dan penduduk setempat yang tinggal berhampiran pesisir pantai dan pulau di Lahad Datu.
Menurutnya para peserta yang hadir diberikan taklimat kesedaran keselamatan dan penerangan mengenai peranan dan tanggungjawab ESSCOM yang merupakan sebuah agensi peneraju keselamatan di sempadan perairan dan daratan pantai timur Sabah.
“Di samping itu, para peserta turut didedahkan dengan penjelasan berkaitan isu-isu keselamatan iaitu ancaman Abu Sayyaf Group (ASG) di Sabah, pencerobohan anasir dan militan asing, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta jenayah rentas sempadan yang berlaku di ESS Zone,” katanya dalam satu kenyataan.
Di akhir program tersebut, Tuan OKK Tahir bin Ali Hanapia, Ketua Daerah Lahad Datu mengetuai bacaan Ikrar Taat Setia Rakyat Zon Selamat Sabah Timur bersama- sama peserta-perserta taklimat yang lain.
Hamzah berkata antara intipati utama dalam ikrar itu ialah tekad rakyat di negeri ini untuk menumpukan seluruh usaha dan tenaga bagi mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata masyarakat di sini turut menzahirkan pengakuan untuk tidak menyokong dan mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah serta mendokong prinsip-prinsip yang terdapat dalam Rukun Negara.
Sementara itu, Hamzah berkata ESSCOM turut mengadakan sambutan Aidilfitri sempena program tersebut dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Silam.
Antara pengisian utama majlis adalah pertandingan gerai juadah masakan suku kaum Bajau, Suluk, Melayu dan Bugis yang mewakili setiap kampung berhampiran pesisir pantai ESS Zone.
Antaranya Kampung Silam, Kampung Tempinau, Kampung Silam Lamak, Kampung Babul Rahmah, Kampung Bumiputera, Kampung Sri Aman dan Kampung Teluk Soaiun yang telah mengambil bahagian dalam sambutan kali ini dengan johan gerai paling ceria dirangkul oleh Kampung Silam.
“Sesungguhnya, jalinan hubungan kerjasama yang erat antara masyarakat dan pasukan keselamatan adalah kunci kepada keamanan dan ketenteraman awam terutamanya di ESS Zone.
“Kerjasama yang utuh dengan masyarakat di ESS Zone dapat memastikan aktiviti harian dijalankan dengan penuh rasa yakin selaras hasrat Kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara,” katanya.
Hadir sama Laksamana Muda Sazalee bin Shoib Panglima Markas Wilayah 2, Tuan Hj Abdul Hakim bin Ghulam Hassan Ketua Bahagian Bersatu Daerah Lahad Datu, Tuan Abdul Rahim bin Hj Ghulam Hassan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.62 Silam, Encik Abdul Rahman bin Mararali Guru Besar Sekolah Kebangsaan Silam, Pegawai Kanan ESSCOM dan wakil Pejabat Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Markas 5 Divisyen, dan Jabatan/Agensi Persekutuan dan Negeri yang berpusat di semua daerah dalam ESS Zone.
Hamzah berkata ESSCOM akan terus mempergiatkan pemantauan dan kawalan keselamatan bersama-sama ATM, PDRM, APMM dan agensi keselamatan/penguatkuasaan lain bagi mengekang ancaman anasir asing dan penjenayah rentas sempadan termasuk kemasukan PATI ke ESS Zone.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau menyalurkan maklumat melalui aplikasi Whatsapp di talian 011- 63311072.
Sementara itu, Hamzah berkata ESSCOM melancarkan Operasi GASAK pada 18 Mei lepas bagi merobohkan sejumlah pondohan yang tidak berpenghuni dan diberi notis pengosongan di perairan Bogo, Pulau Bangkawan, Kudat
Beliau berkata maklumat perisikan mendapati pondohan haram itu berpotensi dijadikan lokasi “staging point” persinggahan elemen penjenayah rentas sempadan.