KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban tidak bercadang untuk kembali bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Saya tidak bercadang untuk kembali semula ke dalam liga politik, setakat ini, namun jika diperlukan, jika diberi kepercayaan dan mandat semula, saya tidak menolak, kerana itu adalah takdir dari Allah,” katanya.
Jelas mantan ahli UMNO itu, rakyat di kawasan masih ada yang meluahkan hasrat untuk beliau kembali menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
“Saya ambil keputusan untuk kurang turun ke kawasan untuk masa ini kerana memberi laluan kepada kepimpinan kini dan saya tidak mahu dikatakan atau dikaitkan dengan persepsi negatif jika saya terlebih aktif.
“Lebih baik saya berehat buat masa sekarang,” katanya lagi.
Bekas Pembantu Menteri Kewangan itu juga berkata bahawa beliau akan sentiasa bersama dan membantu jentera pilihan raya parti kerana jiwanya sentiasa bersama parti.
“Jiwa saya dalam parti UMNO dan sudah tentu saya akan membantu segala urusan perjalanan parti UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, Ramlee turut mengulas lanjut berkaitan kekosongan kerusi DUN Bugaya.
Katanya, rakyat di kawasan Bugaya mesti merasakan kehilangan setelah hampir dua tahun tanpa seorang wakil.
“Saya risau juga kenapa lama kita tidak adakan pilihan raya kecil, sedangkan di negeri-negeri seperti Sarawak, Johor dan Melaka sudah selesai.
“Saya sarankan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya dapat percepatkan pilihan raya kecil di DUN ini, demi rakyat,” ujar beliau lagi.
Ramlee turut menyatakan harapan beliau untuk melihat lebih ramai muka-muka baharu dalam pimpinan yang bakal membela nasib rakyat.
“Hasrat saya adalah untuk melihat orang muda berjuang untuk rakyat kita kerana kita yang senior ini sudah melalui fasa-fasa itu.
“Saya sudah mencurahkan segala yang terdaya dan kini masanya kita beri laluan kepada orang lain yang mungkin lebih baik dari kita,” jelasnya lagi.