MID rancang bawa usahawan, persatuan perniagaan, agensi berkaitan ke Nusantara

KOTA KINABALU: Pembinaan Nusantara selaku ibu kota baharu Indonesia akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di seluruh Kalimantan Timur (KALTIM) sebanyak 7.3% dan seterusnya meningkatkan pelaburan sebanyak 47.7%.

Advertisements

Ini adalah kerana Republik Indonesia turut mempunyai rancangan pembangunan di Kalimantan yang melibatkan infrastruktur, jaringan rel, jalan, pelabuhan, pembukaan kawasan perindustrian baharu serta pembangunan daerah-daerah luar bandar dan sempadan.
 
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, sedikit sebanyak ini menyebabkan ‘spillover effect’ serta membuka peluang kerjasama perdagangan, pelaburan dan perniagaan kepada negara serta rakyat Malaysia di kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak.
 
Katanya, Kerajaan Negeri Sabah telah mencadangkan beberapa projek pembangunan yang bertujuan untuk merebut peluang daripada pembangunan pesat wilayah Kalimantan Indonesia.

“Antaranya ialah mensasarkan supaya daerah-daerah seperti Tawau, Kalabakan, Nabawan dan Sipitang dibangunkan sejajar dengan perkembangan provinsi Kalimantan Utara (KALTARA).

“Ini termasuk pembangunan bandar-bandar sempadan, pembinaan jalinan hubungan darat dan air serta penyediaan infrastruktur asas di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti. Salah satu daripada projek utama yang disasarkan adalah pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong serta pembinaan jalan darat dari Serudong, Kalabakan ke Simanggaris, KALTARA yang akan menghubungkan Sabah dengan Lebuhraya Trans Kalimantan Poros Utara dan Selatan.

“Pembinaan jalan tersebut membolehkan akses dari bandar-bandar utama di Sabah sehingga ke Nusantara dan bandar-bandar utama yang lain di Kalimantan,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian pada Majlis Amanat 2022 dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 yang diadakan di Magellan Sutera Resort & Spa, pada Jumaat.

Baru-baru ini, pada 25 Mac hingga 01 April yang lalu, beliau bersama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), Thomas Logijin dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah mewakili Kerajaan Negeri Sabah untuk menyertai lawatan kerja bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) ke Kalimantan, Indonesia.
 
Lawatan kerja itu bertujuan untuk melihat perkembangan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) yang mana Kerajaan Indonesia akan memindahkan pusat pentadbirannya ke lokasi tersebut bermula pada tahun 2024.

“Saya juga berkesempatan berjumpa dengan Bapak Dhony Rahajoe, Timbalan Ketua Otoritas IKN. Badan Otoritas IKN iaitu agensi yang baru diwujudkan bertanggungjawab untuk memainkan peranan dalam pembangunan dan pemindahan IKN serta pengembangan IKN dan kawasan sekitarnya,” katanya.
 
Di samping itu, katanya, lawatan ini juga bertujuan untuk menjalin hubungan sosio-ekonomi bersama Pentadbiran Provinsi-Provinsi KALTIM dan KALTARA, Republik Indonesia yang berhampiran dengan Sabah dan Sarawak.

Katanya, dengan perpindahan ibu kota Republik Indonesia di Kalimantan, aktiviti sosioekonomi akan meningkat dan memberi manfaat kepada penduduk di daerah-daerah berhampiran seperti Pagalungan, Nabawan, Keningau, Kalabakan dan Tawau serta Sabah pada keseluruhannya.
 
Lawatan itu juga bertujuan untuk memahami strategi penggalakan pelaburan kedua-dua provinsi serta perancangan pembangunan Pos Luar Batas Negara (PLBN) yang baharu agar dapat memesatkan pembangunan ekonomi kawasan sempadan negara.
 
“Perpindahan ibu kota negara Republik Indonesia dari Jakarta ke Nusantara akan memberikan impak dan kesan yang mendalam kepada negara khususnya kepada kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan bahagian Kalimantan, Indonesia,” jelasnya.
 
Hasil daripada lawatan itu, kata Dr. Joachim, Kementerian perlu membuat perancangan untuk membawa komuniti usahawan, persatuan perniagaan dan agensi-agensi yang berkaitan bagi merebut peluang-peluang yang bakal wujud dengan perpindahan ibu kota negara Republik Indonesia dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan.

Sementara itu, mengulas mengenai Ekadasa Sabah Maju Jaya (SMJ), forum MID yang diadakan sempena sambutan Setahun Hala Tuju SMJ baru-baru ini, Dr. Joachim berkata, pihak SK Nexilis telah memberikan sebab-sebab mengapa mereka memilih Sabah antaranya adalah kelulusan permit yang cepat, kolaborasi yang padu dan kelengkapan taman perindusrtian yang siap dengan kemudahan asas seperti pelabuhan.

“Ini adalah indikator kepada kita untuk memfokuskan bahagian perkhidmatan mana yang perlu diutamakan. Di sini saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada MID kerana telah berjaya membentangkan topik forum dengan cemerlang.
 
“Saya menyeru kepada warga MID, DIDR, SEDCO, KKIP Sdn Bhd, SODGC dan Invest Sabah Sdn Bhd untuk bersama-sama menginovasi dan mempergiatkan lagi usaha-usaha menarik para pelabur yang berpotensi agar memilih Sabah sebagai destinasi pelaburan mereka,” kata beliau yang juga Wakil Rakyat Kundasang.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal, Setiausaha Tetap Kementerian, Thomas Logijin, Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Benedick Bisoni, Adam Valentine; Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Tseu Kei Yue; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad, Datuk Madiyem Layapan, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo, Pegawai-pegawai kementerian, jabatan dan agensi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles