KM: 3 Aspek Penting Hala Tuju BBN, GLC Kerajaan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan Badan-Badan Berkanun (BBN) dan Syarikat yang berkaitan dengan Kerajaan (GLC) di negeri ini memberi penekanan kepada 3 aspek penting dalam hala tuju agensi masing-masing.
Katanya, selain memberi tumpuan ke atas pencapaian dan prestasi, ahli-ahli Lembaga mempunyai peranan untuk memastikan setiap agensi mempunyai hala tuju.
Beliau berkata, aspek pertama ialah; bagi Agensi Kerajaan yang masih lagi menerima geran daripada Kerajaan Negeri, hala tuju agensi berkenaan harus ada program untuk mengurangkan kebergantungan dana kerajaan secara berperingkat dan seterusnya mencapai taraf berdikari.
Menurutnya, aspek kedua ialah Badan Berkanun yang mempunyai potensi komersial perlu mencari pendekatan baharu untuk meletakkan nilai dan harga terhadap perkhidmatan yang diberikan, serta membangunkan perniagaan teras yang mampu menjana pendapatan bagi membiayai aktiviti sosio-ekonomi.
“Agensi-agensi Kerajaan juga perlu meneroka potensi kerjasama strategik antara agensi-agensi dan mengelakkan agensi Kerajaan daripada saling bersaing dan menceburi sektor yang saling bertindih.”
“Ketiga ialah, Agensi-Agensi Kerajaan perlu melihat potensi yang berada di luar, khususnya di negeri atau negara jiran. Misalnya melihat dan memikirkan potensi yang boleh diraih berikutan cadangan pemindahan ibu kota Negara Indonesia daripada Jakarta ke Kalimantan”, katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan-badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Tahun 2021, secara maya di sini hari ini.
Kursus itu dihadiri oleh lebih 300 Ahli Lembaga Badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Negeri. Ia merupakan acara tahunan dianjurkan Kementerian Kewangan yang wajib disertai semua Ahli lembaga daripada Syarikat Kerajaan dan Syarikat Badan-Badan Berkanun.
Kursus ini juga bertepatan dengan pengumuman Hajiji pada 13 Jun lalu, mengenai rombakan Jawatankuasa Pemantauan Dasar dan Tadbir Urus Korporat.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, ini adalah salah satu mekanisme ke arah memperkuatkan dan meningkatkan pemantauan dan tadbir urus korporat semua BBN dan GLC.
“Harus diingat bahawa setiap BBN dan GLC adalah tertakluk kepada Pekeliling Kerajaan dan Kementerian Kewangan akan memantau antara lain semua aspek korporat serta tadbir urus kemungkinan penyalahgunaan kuasa di dalam BBN dan GLC.
Selain itu katanya, apa juga cadangan operasi perniagaan yang dikemukakan akan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan ia memberi pulangan yang baik kepada kerajaan negeri, pulangan yang diberikan akan memberi kestabilan kewangan jangka panjang dan berdaya maju komersial untuk pulangan pelaburan yang tinggi.
“Walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan sedikit sebanyak telah menjejaskan ekonomi negara, saya berharap semua ketua yang telah dilantik akan memperkemaskan dan meningkat inisiatif bagi meningkatkan kembali ekonomi negeri dan negara.
Hajiji juga mahu semua pemimpin Badan-Badan Berkanun Negeri dan anak-anak syarikat milik kerajaan menunaikan tanggungjawab dalam memakmurkan khazanah negeri Sabah.
Katanya, tanggungjawab untuk menyumbang kepada khazanah negeri bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan satu tanggungan yang mesti ditunaikan kepada Kerajaan negeri.
Menurutnya, agensi-agensi Kerajaan tidak terhindar daripada perubahan dalam landskap global, seperti trend mega (megatrends) yang melibatkan revolusi teknologi keempat atau “The Fourth Industrial Revolution”.
Beliau berkata, kemunculan pelbagai teknologi terkini seperti artificial intelligence, robotik, nanoteknologi dan pelbagai lagi aplikasi teknologi menandakan inovasi ke atas teknologi berlaku dengan pantas.
“Justeru, Agensi-agensi Kerajaan perlu memikirkan dan memahami trend mega yang sedang melanda dan bersedia untuk berasimilasi dengan perubahan pantas persekitaran teknologi”, tegasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles