Oleh Yussof J. Imbang
KOTA KINABALU; Kerjasama dua hala di antara Kumpulan Sedco dan Petronas di bawah perjanjian pajakan tanah dengan nilai keseluruhan RM200 juta dalam tempoh 30 tahun mencetuskan lonjakan besar dalam sektor minyak dan gas di Sabah.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, pemeteraian perjanjian pajakan tanah Kumpulan Sedco dan Petronas adalah langkah tranformasi ekonomi berterusan kerajaan negeri untuk tempoh jangka panjang.
Beliau berucap pada majlis pemeteraian perjanjian kedua-dua agensi itu yang disaksikan Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di salah sebuah hotel terkemuka di sini, tengahari tadi.
Perjanjian itu melibatkan pajakan 32.2 hektar tanah untuk operasi dua agensi kerajaan negeri iaitu Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) di Kimanis dan 260 hektar tanah sepanjang koridor jajaran saluran paip gas, Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) dari Kimanis ke Sipitang.
Menurut Masiung, langkah baharu iti sebagai usahasama strategik memperkukuhkan ekosistem Sabah dan Sarawak, sekaligus meletakkan Sedco dan Petronas sebagai pemain utama dalam industri domestik.
” Kontrak kerjasama ini dijangka menjana RM100 juta dalam tempoh dua tahun sehingga pertengahan 2028 dengan menyasarkan pulangan RM20 juta dividen dan pinjaman kepada kerajaan negeri yang mula disalurkan tahun ini.
” Permeteraian perjanjian pajakan tanah ini merupakan pencapaian komersial dua hala antara Petronas dan Sedco bagi menyokong pembangunan infrastruktur industri minyak dan gas di tanah besar Borneo merangkumi Sabah, Sarawak, ” katanya.
Menurut Masiung, kolaborasi kedua-dua agensi itu telahpun bermula sejak 1997 dan hubungan kerjasama itu telah menyokong pelbagai projek infrastruktur dan utiliti di negeri ini.
Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian turut hadir di majlis tersebut. Sementara, Petronas diwakili oleh Naib Presiden Kanannya, Datuk Ir. Bacho. Pilong.
Manakala Ziaril Faiz Zakaria, Pengurus Besar Kanan Integrated Hydrocarbon Malaysia Management mewakili Petronas bagi menandatangani meteri perjanjian dan Sedco diwakili Pengurus Besar, Datuk Ar. James Wong.
