KOTA MARUDU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, hari ini mencadangkan supaya Malaysia membangunkan Dasar Negara bagi Pelaksanaan UNDRIP dan Pelan Tindakan Nasional, melalui satu kerangka tindakan yang dinamakan Agenda Tuaran.
Beliau berkata Malaysia telah mengundi menyokong Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP) ketika deklarasi itu diterima oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2007.
Menurutnya, selepas hampir dua dekad, persoalan utama bukan lagi sama ada UNDRIP penting, tetapi bagaimana komitmen tersebut diterjemahkan kepada dasar, undang-undang, institusi, program dan hasil yang benar-benar dapat dirasai oleh Masyarakat Orang Asal.
“Kita perlu bergerak daripada pengiktirafan kepada dasar, daripada dasar kepada pelaksanaan, dan daripada pelaksanaan kepada hasil.”
Madius berkata demikian ketika membentangkan kertas seminar bertajuk “Melaksanakan Komitmen UNDRIP di Malaysia: Ke Arah Dasar Negara dan Pelan Tindakan Nasional — Agenda Tuaran” pada Forum Kesedaran Hak-Hak Orang Asal Sabah, sempena Karnival Momogun bagi Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2026 di Kota Marudu hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Momogun National Congress (MNC) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Marudu dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Dalam pembentangannya, Madius turut memperkenalkan Model 8E, yang menggariskan lapan unsur penting bagi membina sebuah ekosistem pelaksanaan dan pemerkasaan Masyarakat Orang Asal.
Lapan unsur tersebut merangkumi pengiktirafan hak, dasar, perundangan, institusi, pembiayaan, pembangunan kapasiti, penyertaan, serta pemantauan dan akauntabiliti.
Menurut beliau, pendekatan menyeluruh diperlukan kerana pelaksanaan UNDRIP tidak boleh bergantung kepada satu kementerian, satu agensi atau satu program semata-mata.
Kertas seminar itu turut mengemukakan tiga instrumen utama pelaksanaan, iaitu Dasar Negara bagi Pelaksanaan UNDRIP, Pelan Tindakan Nasional 2027–2037, serta sistem tadbir urus, pemantauan dan akauntabiliti yang mampu mengukur kemajuan dan menunjukkan hasil kepada masyarakat.
Madius berkata Sabah mempunyai pengalaman, realiti serta institusi tersendiri, termasuk sistem adat dan Mahkamah Anak Negeri. Justeru, Sabah mempunyai potensi untuk menjadi antara medan penting bagi menguji, menyesuaikan dan memperkaya pendekatan pelaksanaan UNDRIP, selaras dengan pembahagian kuasa dan bidang kuasa Persekutuan dan Negeri.
“Pelaksanaan UNDRIP tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat — Whole of Government dan Whole of Society — dengan Masyarakat Orang Asal sendiri menjadi rakan dalam proses membuat keputusan.”
Beliau seterusnya menggariskan enam Agenda Tuaran sebagai kerangka pertimbangan untuk menggerakkan pelaksanaan UNDRIP di Malaysia:
1. Membentuk Dasar Negara bagi Pelaksanaan UNDRIP;
2. Menterjemahkan dasar tersebut kepada Pelan Tindakan Nasional;
3. Menyelaraskan pelaksanaan sepanjang rantaian kerajaan, daripada peringkat Persekutuan dan Negeri hingga ke daerah dan komuniti;
4. Memastikan penyertaan bermakna Masyarakat Orang Asal serta memperjelas pelaksanaan prinsip FPIC (Free, Prior and Informed Consent — Persetujuan Bebas, Terdahulu dan Dimaklumkan);
5. Membudayakan Penilaian Keserasian UNDRIP dalam proses pembentukan dasar dan pembuatan keputusan; dan
6. Membina sistem pemantauan, penilaian dan akauntabiliti supaya kemajuan pelaksanaan dapat diukur dan dilaporkan.
Madius menegaskan bahawa Agenda Tuaran bukan suatu dasar muktamad dan bukan tafsiran undang-undang yang mengikat. Sebaliknya, ia dikemukakan sebagai kerangka pertimbangan, platform dialog dan titik permulaan untuk membina dasar serta pelan tindakan melalui proses yang inklusif.
Beliau berkata prinsip terpenting ialah Masyarakat Orang Asal tidak seharusnya sekadar menjadi penerima sesuatu dasar selepas ia diputuskan.
Sebaliknya, mereka perlu diberikan ruang yang bermakna untuk terlibat dalam pembentukan dasar, pelaksanaan, pemantauan dan penilaiannya.
“Dasar mengenai Masyarakat Orang Asal mesti dibina bersama Masyarakat Orang Asal — bukan untuk mereka semata-mata.”
Menurut Madius, kejayaan sebenar pelaksanaan UNDRIP akhirnya tidak harus diukur berdasarkan berapa banyak mesyuarat diadakan atau dokumen dihasilkan, tetapi berdasarkan perubahan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat.
“Matlamat kita bukan menghasilkan satu lagi dokumen. Matlamat kita ialah membina satu sistem pelaksanaan — daripada pengiktirafan kepada pelaksanaan, daripada ‘untuk’ kepada ‘bersama’, dan daripada komitmen kepada hasil.
Itulah semangat Agenda Tuaran.”
