PROTUNe perkasa budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar Sabah

KOTA KINABALU: Program Tunas Niaga (PROTUNe) terus menjadi wadah penting dalam membentuk generasi muda Sabah yang berdaya saing, kreatif dan berjiwa usahawan menerusi pendedahan awal kepada dunia perniagaan.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda, berkata program yang dilaksanakan sejak 1997 itu berjaya melahirkan ramai pelajar yang memiliki kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan kewangan serta keyakinan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh sembilan bulan pelaksanaan program, peserta diberi peluang mengendalikan syarikat masing-masing, membangunkan produk, mengurus pemasaran, menyediakan laporan tahunan serta membentangkan prestasi syarikat di hadapan panel penilai profesional.

“PROTUNe bukan sekadar pertandingan mencari pemenang, tetapi medan membentuk sahsiah, integriti, disiplin dan daya tahan pelajar agar mereka mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, di di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat dan Kewangan),  Haji Azrul Haji Ahmad; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting; serta Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Yahyah Sidek.

Seramai 15 syarikat pelajar dari seluruh Sabah menyertai konvensyen peringkat akhir selepas melalui pelbagai proses penilaian, termasuk pembentangan laporan tahunan syarikat kepada panel hakim daripada Kumpulan SEDCO dan agensi pembimbing.

Redonah berkata, Sabah kekal antara negeri yang meneruskan pelaksanaan PROTUNe walaupun program itu tidak lagi menerima peruntukan di peringkat Persekutuan, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pendidikan keusahawanan.

Beliau berharap lebih banyak syarikat korporat dan pemain industri tampil menyokong PROTUNe melalui penajaan, bimbingan mentor, perkongsian kepakaran dan peluang pendedahan industri bagi memperkasa pembangunan usahawan muda di negeri ini.

“Melahirkan generasi usahawan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak agar lebih ramai anak muda Sabah bersedia menjadi pemimpin ekonomi pada masa hadapan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles