KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) mengesyorkan supaya kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menambah bilangan pegawai kaunselor di setiap pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi memantapkan khidmat sokongan profesional kepada warga pendidik yang berdepan isu mental dan tekanan.
Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata staf yang ditempatkan di unit kaunseling PPD juga wajar ditambah seiring dengan keperluan semasa.
Beliau berkata langkah itu penting susulan tragedi kematian guru baru-baru ini.
Pada Khamis lepas, media melaporkan seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Hulu Selangor
“Sebab itu, KGKS syorkan agar pegawai kaunselor di setiap PPD ditambah, dan begitu juga staf.. sekarang ini hanya seorang pegawai kaunselor yang menjadi prgawai juga staf d bahagian unit kaunselor,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, Murkam berkata faktor geografi dan kawasan yang luas di Sabah mewajarkan penambahan pegawai kaunselor untuk mengawal keadaan warga pendidik yang bermasalah di semua sekolah di bawah seliaan PPD.
Beliau berkata KGKS turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang yang menurutnya satu kehilangan yang amat dirasai oleh warga pendidik.
“KGKS minta semua pihak bertenang.. KGKS
yakin pihak yang berkenaan seperti KPM dan pihak polis akan membuat yang terbaik untuk tangani kes ini,” Katanya.
Murkam berharap dengan penambahan bilangan pegawai kaunselor, ia dapat membantu memperkukuh sistem sokongan psikologi, meningkatkan kecekapan intervensi krisis di sekolah, serta mengurangkan beban tugas guru kaunseling di peringkat akar umbi.
