Galak perdagangan dua hala Malaysia-Filipina demi memacu ekonomi pantai timur – Calvin Chong

SANDAKAN: ADUN Elopura Calvin Chong menggalakkan usaha memperkukuh perdagangan dua hala antara Malaysia dan Filipina kerana ia diyakini mampu mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua negara, di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Pantai Timur Sabah secara menyeluruh.

Beliau berkata, kedudukan Sandakan sebagai kawasan di Pantai Timur Sabah yang paling hampir dengan Pulau Tawi-Tawi, Filipina, menjadikan laluan laut di antara kedua-dua kawasan itu sangat penting dari sudut geopolitik dan ekonomi antarabangsa.

Menurut beliau, laluan perairan yang memisahkan Sandakan dan Tawi-Tawi bukan sahaja penting kepada hubungan perdagangan Malaysia-Filipina, malah memainkan peranan besar dalam laluan perdagangan antarabangsa, khususnya perdagangan antara China dan Australia.

“Kapal-kapal dagang yang berulang-alik antara China dan Australia sememangnya akan melalui kawasan perairan ini. 

*Oleh itu, selat yang memisahkan Sandakan dan Tawi-Tawi bukan sahaja merupakan laluan penting perdagangan antarabangsa, malah berpotensi menjadi sumber kekuatan kepada pembangunan perdagangan dua hala Malaysia-Filipina pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Calvin Chong mengetuai satu delegasi ke Cotabato, Filipina bagi lawatan pertukaran selama lima hari untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung usaha memperkukuh perdagangan dua hala antara Malaysia dan Filipina.

Beliau turut menjelaskan bahawa Pulau Tawi-Tawi mempunyai pelbagai sumber hasil pertanian dan bahan mentah pada harga yang lebih rendah, termasuk nanas dan produk pertanian lain. 

Namun, kekurangan kemudahan asas seperti bekalan elektrik menyebabkan kawasan tersebut berdepan kesukaran dalam menjalankan aktiviti pemprosesan makanan.

“Dalam hal ini, Sabah khususnya di Pantai Timur mempunyai kelebihan dari segi kemudahan dan infrastruktur yang boleh membantu memproses bahan mentah tersebut menjadi produk makanan bernilai tambah.

“Usaha ini bukan sahaja mampu merancakkan industri pemprosesan makanan tempatan, malah dapat memperkukuh perdagangan dua hala Malaysia-Filipina serta meningkatkan potensi eksport negara, sekali gus memberi manfaat kepada sektor-sektor berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru para peniaga dan usahawan yang berminat dalam perdagangan antarabangsa supaya merebut peluang tersebut demi menjana keuntungan perniagaan serta menyumbang kepada pertumbuhan eksport Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai lawatan berkenaan, Calvin Chong berkata kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan rentas sempadan Malaysia-Filipina, menghidupkan semula aktiviti perdagangan barter, serta meneroka mekanisme baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelaburan serantau.

Katanya, perbincangan tersebut turut menyentuh aspek tadbir urus, autonomi wilayah dan pembangunan institusi, selain menekankan kepentingan kerjasama berterusan serta kepimpinan yang berpaksikan kepentingan rakyat.

“Melalui lawatan dan dialog berterusan seperti ini, kedua-dua pihak komited untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama antara Sabah dan wilayah Bangsamoro demi pembangunan ekonomi serta kestabilan serantau,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles