FORUM: Lichong (dua kanan) bersama ahli panel forum terdiri Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil (kanan), Presiden Persatuan Wartawan Bahagian
Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei, Ketua Pengarang Sin Chew Daily News, Datuk Kuik Cheng Kang (dua kanan) dan tokoh wartawan, Datuk Suhaimi Sulaiman sempena forum berkenaan.
KUALA LUMPUR: Pelaburan dalam infrastruktur digital perlu diperkasakan di Sabah, khususnya dalam memperluas liputan internet berkelajuan tinggi ke kawasan pedalaman.
Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui, berkata langkah itu penting bagi membolehkan Sabah bergerak pantas dalam landskap media Malaysia era digital.
Beliau mengakui bahawa Sabah masih ketinggalan, terutama dari segi infrastruktur, akses teknologi dan pembangunan bakat.
“Di banyak kawasan luar bandar, capaian internet yang tidak konsisten menyukarkan organisasi media tempatan untuk beralih sepenuhnya ke platform digital.
“Keadaan ini mengehadkan keupayaan wartawan di Sabah untuk bersaing secara setara dengan rakan mereka di Semenanjung yang menikmati kemudahan teknologi yang lebih maju,” katanya ditemui sempena Forum Media Hari Wartawan Malaysia (Hawana) di sini hari ini.
Lichong yang juga Ahli Majlis Pentadbir Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) berkata kekurangan pendedahan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data turut memperlahankan proses transformasi.
Menurutnya, banyak organisasi media di Sabah masih beroperasi dengan sumber yang terhad, menyebabkan pelaburan dalam inovasi digital bukan menjadi keutamaan.
Beliau berkata tanpa sokongan mencukupi dari segi latihan dan kewangan, jurang keupayaan itu akan terus melebar dan memberi kesan kepada kualiti serta daya saing kandungan media tempatan.
“Bagi mengatasi cabaran ini, pelaburan dalam infrastruktur digital perlu dipercepatkan, khususnya dalam memperluas liputan internet berkelajuan tinggi ke kawasan pedalaman.
“Di samping itu, program latihan bersasar yang memberi tumpuan kepada kemahiran digital, AI dan kewartawanan data perlu diperluaskan kepada pengamal media di Sabah,” katanya.
Menurutnya, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan organisasi media juga penting bagi membina ekosistem yang menyokong inovasi dan perkongsian pengetahuan.
“Sabah perlu diberi perhatian khusus dalam pelaksanaan inisiatif nasional seperti Dana Inovasi Media agar tiada wilayah yang tercicir dalam arus transformasi ini.
“Pendekatan yang inklusif dan seimbang akan memastikan media di Sabah bukan sahaja mampu mengejar arus digital, tetapi juga menyumbang perspektif unik yang mencerminkan kepelbagaian suara Malaysia.
“Dengan langkah yang strategik dan berterusan, Sabah berpotensi untuk menjadi sebahagian penting dalam masa depan media negara,” katanya.
