Kenyataan Media, Datuk Ibrahim Linggam, Timbalan Presiden USNO
KOTA KINABALU: Tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggantung enam (6) dan melucutkan jawatab enam (6) lagi Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi USNO adalah satu tindakan yang jelas mencabul Perlembagaan Parti dan memperlihatkan budaya politik autokratik yang semakin membimbangkan dalam USNO.
Penggantungan tersebut dibuat tanpa proses disiplin yang telus dan adil sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal 49 Perlembagaan Parti. Malah, Lembaga Disiplin Awalan yang sepatutnya menilai pertuduhan juga tidak diwujudkan. Begitu juga, hak rayuan ahli-ahli yang dituduh seperti yang dijamin di bawah Fasal 49.4 turut diketepikan begitu sahaja.
Hingga hari ini, tiada penjelasan tuntas diberikan. Apa yang berlaku hanyalah tindakan menghukum terlebih dahulu sebelum proses keadilan dilaksanakan. Ini bukan disiplin. Ini adalah intimidasi politik.
Lebih memalukan, tindakan keras ini dipercayai berpunca daripada pendirian mereka yang menolak keputusan Mesyuarat Majlis Eksekutif Tertinggi pada 22 April 2026, sedangkan mesyuarat tersebut sendiri gagal memenuhi syarat kuorum dan boleh dipertikaikan kesahihannya menurut Fasal 24.11 Perlembagaan Parti.
Majlis Eksekutif Tertinggi mempunyai 37 ahli. Kuorum minimum ialah 19 orang. Tetapi mesyuarat pada 22 April hanya dihadiri 18 orang sahaja. Secara mudahnya, mesyuarat itu tidak cukup kuorum dan tidak sah.
Adalah sangat tempang apabila keputusan sebesar membawa USNO keluar daripada GRS dibuat dalam mesyuarat yang gagal memenuhi syarat asas Perlembagaan Parti sendiri.
Lebih mengejutkan, dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif Tertinggi pada 6 Mei 2026, kehadiran fizikal juga difahamkan hanya melibatkan 17 orang Ahli sahaja, manakala tiga (3) lagi dipaksa hadir secara dalam talian dan itu tidak sah mengikut perlembagaan.
Sejak bila kehadiran secara atas talian diiktiraf dalam Perlembagaan USNO sebagai sebahagian daripada kuorum mesyuarat?
Tiada peruntukan sedemikian dalam Perlembagaan Parti. Tiada juga makluman dalam notis mesyuarat bahawa kehadiran secara dalam talian dibenarkan dan boleh dikira bagi tujuan kuorum. Maka cubaan mencukupkan angka melalui kaedah tersebut hanyalah helah pentadbiran untuk membolehkan keputusan tertentu dipaksakan.
Walau dicampur sekali pun, tindakan meneruskan mesyuarat dalam keadaan pertikaian kuorum yang serius jelas menunjukkan keterdesakan politik dan sikap mem’bulldoze’ Perlembagaan Parti demi mempertahankan kedudukan sendiri.
Malah, notis penggantungan dan pelucutan 12 Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi ini telah dikeluarkan pada 5 Mei 2026, tetapi surat undangan ke mesyuarat pada 6 Mei 2026 tetap diutuskan kepada mereka menunjukkan kecelaruan prosedur yang serius daripada badan pentadbiran parti pimpinan Tan Sri Pandikar Amin.
Lebih teruk, keputusan yang cacat dari segi Perlembagaan itu kini dijadikan alasan untuk menggantung dan menyingkirkan pimpinan yang mempertikaikannya. Ini bukan lagi soal mempertahankan parti. Ini soal mempertahankan kuasa semata-mata.
Pada masa sama, difahamkan bahawa dalam mesyuarat 6 Mei yang tidak sah tersebut, usaha telah mula dibuat untuk melantik pengganti kepada ahli-ahli yang digantung walaupun proses disiplin masih belum selesai. Tindakan ini sangat rakus, tergesa-gesa dan langsung tidak demokratik.
Jika hari ini formula pentadbiran USNO ialah sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan Presiden akan digantung, maka selepas ini USNO terpaksa menghadapi “krisis kebanjiran” ahli dan pimpinan yang perlu digantung.
Hakikat bahawa 19 daripada 26 Bahagian USNO telah menyatakan bantahan terhadap keputusan keluar daripada GRS membuktikan bahawa penolakan ini datang daripada suara akar umbi parti sendiri.
Ini bukan gerakan individu. Ini gelombang penolakan daripada majoriti pimpinan dan ahli di bawah. Tetapi malangnya, suara majoriti hari ini dilayan seperti musuh.
Tan Sri Pandikar juga sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekiranya majoriti Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi tidak bersetuju dengan tindakannya keluar daripada GRS, beliau bersedia melepaskan jawatan Presiden.
Tetapi hari ini yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka yang tidak bersetuju pula ditekan, digantung dan cuba disingkirkan.
USNO adalah parti bersejarah. Parti ini tidak boleh dipimpin dengan budaya takut, ugutan dan pemusatan kuasa melampau. Parti politik bukan milik seorang Presiden. Parti adalah milik ahli, akar umbi dan perjuangan kolektif.
Kalau suara majoriti pun mahu dibungkam, kalau perbezaan pandangan dianggap kesalahan, maka USNO sedang dibawa ke arah budaya autokratik yang sangat berbahaya.
Saya ingin menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan Perlembagaan Parti bukan perjuangan individu, tetapi perjuangan mempertahankan maruah demokrasi dalam USNO.
Kami tidak akan tunduk kepada budaya politik feudal yang menganggap jawatan Presiden lebih besar daripada suara ahli dan akar umbi parti. USNO tidak boleh menjadi alat untuk memusatkan kuasa kepada segelintir elit sehingga suara majoriti dianggap ancaman dan kritikan dianggap penderhakaan.
Sebuah parti yang sihat mesti dibina atas keberanian bersuara, budaya muafakat dan penghormatan terhadap hak ahli untuk berbeza pandangan. Parti yang membunuh suara dalaman akhirnya akan membunuh dirinya sendiri.
Kami percaya bahawa kuasa sebenar dalam parti bukan terletak pada ugutan, penggantungan atau manipulasi struktur, tetapi pada keyakinan ahli di bawah yang selama ini mempertahankan perjuangan parti dengan keringat dan pengorbanan mereka.
USNO mesti kembali kepada semangat demokrasi, bukan dipaksa tunduk kepada budaya kuku besi yang memijak suara ramai demi mempertahankan kuasa segelintir pimpinan.
Tan Sri Pandikar Amin telah secara serius melanggar perlembagaan berulang kali dalam menghadapi isu ini. Beliau terpaksa memanipulasi perlembagaan semata-mata untuk mempertahankan keputusan beliau dan sejumlah minoriti penyokongnya dalam Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi.
Kegagalan sejak pilihanraya dan mengemudi parti dengan integriti yang baik menandakan satu keperluan mendesak agar Tan Sri Pandikar Amin meletak jawatan dan hormati pandangan suara ramai.
Ketidakserasian yang menjadi alasan besar beliau mahu keluar daripada GRS ialah alasan peribadi beliau sendiri yang tidak ada justifikasi yang jelas. Oleh sebab itu, daripada memaksa seluruh parti menerima agenda peribadinya adalah lebih baik beliau berundur sahaja secara terhormat.
