TUARAN: Suasana penuh mesra dan harmoni jelas terpancar dalam Jamuan Solidariti Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) sempena Program Pemukiman Kepimpinan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang berlangsung di Restoran Gayang Abadi Fishing, Tuaran.
Majlis ini telah menerima kunjungan rombongan NUTP seramai 32 orang dari Kelantan, sekali gus menjadi simbolik kepada jalinan ukhuwah yang julung kali diadakan antara NUTP Kelantan dan KGKS Sabah.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berusaha En. Murkam Hj. Hussien, Presiden KGKS Negeri Sabah; Yang Berusaha En. Aminuddin bin Awang, Presiden NUTP Malaysia; serta Yang Dihormati En. Norazan bin Mat Noor, Pengerusi NUTP Kelantan.
Hadir sama, Yang Dihormati En. Jumar bin Kamsari, Pengerusi KGKS Daerah Tuaran, bersama barisan Ahli Jawatankuasa NUTP Kelantan, Ahli Jawatankuasa KGKS Negeri Sabah serta KGKS Daerah Tuaran yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan majlis ini.
Majlis berlangsung dengan lancar dan meriah, diserikan dengan suasana penuh keakraban serta semangat kekitaan dalam kalangan warga pendidik dari kedua-dua negeri.
Kunjungan berteraskan ukhuwah ini diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua kesatuan, khususnya dalam memperkukuh usaha menjaga kepentingan dan kebajikan ahli.
Selain itu, ia turut menjadi platform terbaik untuk bertukar pandangan serta pengalaman demi memperkasa profesion keguruan di Malaysia.
Semoga hubungan yang terjalin ini akan terus mekar dan berkekalan, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan organisasi serta kesejahteraan warga pendidik secara keseluruhannya.
