KOTA KINABALU : Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah), (IDS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah binti DSP Mohd Dun, menzahirkan sokongan penuh terhadap seruan terbaharu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, untuk memperkasakan wanita di Sabah melalui akses yang lebih besar kepada peluang dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik.
Mengulas kenyataan Hajiji semasa majlis angkat sumpah ahli-ahli baharu Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Azizah berkata pemerkasaan wanita bukan sekadar isu kesaksamaan, tetapi merupakan pemacu utama pembangunan mampan di Sabah.
“Kami menyambut baik seruan Ketua Menteri yang disifatkan sebagai tepat pada masanya dan selari dengan visi IDS untuk memperkukuh kepimpinan wanita di semua peringkat masyarakat. Melabur dalam wanita bermakna melabur untuk masa depan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pengerusi IDS itu berkata, IDS telah mengambil langkah proaktif ke arah ini menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif, khususnya melalui penubuhan Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC) pada 10 Julai 2024. WLIC diwujudkan untuk memajukan kepimpinan wanita, menyediakan pembangunan profesional sepanjang kerjaya, mengukuhkan penyertaan wanita dalam ekonomi dan keusahawanan, serta menawarkan bimbingan dalam bidang sosio-ekonomi utama.
Sejak penubuhannya, WLIC telah menganjurkan beberapa pertemuan berimpak tinggi yang bertujuan untuk menguatkan suara wanita dan memupuk kerjasama pelbagai sektor.
Antara program tersebut termasuklah penganjuran Sesi Meja Bulat bersama Agensi Kerajaan pada 11 November 2024, Town hall Bajet Wanita Negeri Sabah pada 11 Januari 2025, Sesi Meja Bulat bersama GLC dan sektor swasta pada 28 Februari 2025, serta Sesi Meja Bulat bersama NGO pada 18 Mac 2025.
Platform-platform ini membolehkan pihak berkepentingan menyumbangkan input strategik terhadap dokumen berkaitan dasar utama di peringkat negeri, termasuk Pelan Induk Kepimpinan Wanita Negeri Sabah yang akan datang, yang dijangka menjadi asas kepada penubuhan Kementerian Wanita Negeri.
Azizah menyatakan keyakinannya bahawa WLIC mampu berperanan sebagai mekanisme pemantauan yang berkesan bagi merealisasikan kemajuan dalam usaha meningkatkan penyertaan wanita di peringkat kepimpinan dan pembuat keputusan.
Sementara itu, selaras dengan Belanjawan Negeri Sabah 2025, IDS bersama rakan strategik, Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), telah melancarkan Program Keusahawanan Wanita Muda: Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang dilancarkan pada 27 Februari 2025.
Inisiatif itu bertujuan untuk memperkasa usahawan wanita muda, terutamanya di kawasan luar bandar, dan membantu menangani jurang gender dalam penyertaan ekonomi sambil merangsang pembangunan sosioekonomi yang lebih luas.
Program DAYANG bukan sekadar menawarkan pembiayaan; ia juga turut menyediakan latihan perniagaan, bimbingan, dan sokongan pemasaran bagi membantu peserta membangunkan perniagaan yang mampan dan berdaya saing.
Program tersebut menekankan impak jangka panjang, dan termasuk struktur sokongan selama 18 bulan melalui Majlis Penasihat Keusahawanan yang baru ditubuhkan.
Di bawah inisiatif ini, IDS bertanggungjawab terhadap bahagian penyelidikan, manakala SCC mengawasi pengurusan kewangan dan pembiayaan. Terbaharu, pada 26 April 2025, IDS dan SCC dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort telah menganjurkan program di peringkat daerah bertajuk Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi. Ini merupakan permulaan pelaksanaan awal program DAYANG di beberapa daerah terpilih, yang memfokuskan kepada mengenal pasti dan memupuk wanita muda luar bandar dengan potensi keusahawanan yang kuat.
Setakat ini, SCC telah menerima 16 permohonan pembiayaan di bawah program ini, yang berjumlah RM425,000, hal ini menunjukkan minat dan permintaan yang tinggi terhadap modal perniagaan dalam kalangan wanita muda.
“IDS komited memastikan bahawa setiap inisiatif yang dijalankan bukan sahaja bersifat inklusif tetapi juga memberi impak langsung terhadap kualiti hidup wanita di Sabah,” tambah beliau.
Azizah menegaskan bahawa pemerkasaan wanita bukan sekadar soal kesaksamaan gender, tetapi merupakan strategi penting dalam pembangunan negeri
Beliau turut menyatakan komitmen IDS untuk terus menyokong seruan YAB Ketua Menteri dalam membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif, progresif dan berdaya tahan melalui penyertaan aktif wanita Sabah.