SANDAKAN : Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Hj Nasir menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dalam usaha menjadikan Sandakan sebagai bandar raya kedua di Sabah, selepas Kota Kinabalu.
“Ini adalah satu langkah strategik dan berpandangan jauh, yang bukan sahaja selaras dengan kerangka pembangunan negeri secara holistik, tetapi turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keseimbangan pembangunan antara wilayah pesisir barat dan timur Sabah.
“Sebagai ahli parlimen kawasan yang berkait rapat dengan Sandakan, saya menyambut baik inisiatif ini kerana ia memberi makna besar kepada rakyat dari segi ekonomi, sosial dan kesejahteraan hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada tahun 2021, Beliau telah membahaskan perkara ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, menekankan bahawa status bandar raya bagi Sandakan mampu membuka ruang lebih luas kepada pelaburan domestik dan asing, mempercepat penciptaan peluang pekerjaan, serta mempertingkat mutu infrastruktur dan perkhidmatan awam.
“Lebih penting, ia akan memberi limpahan manfaat langsung kepada rakyat dari peniaga kecil hingga ke golongan belia dan profesional.
“Kita mesti melihat usaha ini bukan sekadar dari sudut fizikal atau pentadbiran semata-mata, tetapi sebagai platform untuk memperkasa potensi rakyat Sandakan secara menyeluruh,” katanya.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berjkata Transformasi ke arah bandar raya haruslah berteraskan prinsip “Rakyat Didahulukan” di mana pembangunan tidak hanya dinilai melalui bangunan yang tinggi, tetapi juga oleh kualiti hidup, pendidikan, mobiliti sosial, dan keadilan ekonomi yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Sebagai wakil rakyat, saya menyeru agar semua pihak sama ada sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan, dan komuniti setempat untuk bersama-sama memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda ini,” katanya.
Beliau berkata Sandakan mempunyai warisan sejarah, kepelbagaian budaya, serta sumber alam yang cukup unik untuk dibangunkan secara inklusif dan mampan.
“Kita perlukan pemikiran strategik dan tindakan berasaskan data dan analisis yang menyeluruh. Sandakan sebagai bandar raya bukan hanya matlamat politik atau simbol status; ia adalah manifestasi visi jangka panjang untuk mengangkat taraf hidup rakyat, memperkukuh jati diri masyarakat tempatan, serta menjadikan Sabah sebagai negeri yang benar-benar maju dan seimbang.