Aksyah dilanda ‘Sindrom Penafian’ menafikan fakta bersumberkan DOSM – Khairuddin

KOTA KINABALU : Wira Warisan berpendapat Kenyataan bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Aksyah Nasrah Aksyah cuba untuk memanipulasikan fakta sebenar.

Naib Ketua Wira Warisan, Khairuddin Daud berkata, ini kerana terdapat pembohongan KDNK Sabah mencatat Pertumbuhan 4.0 peratus pada tahun 2023 dan 4.5 peratus tahun 2024 bagi menggambarkan kejayaan berterusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, Aksyah perlu merujuk data daripada Laporan Sosio ekonomi Negeri Sabah 2023 mengatakan bahawa pertumbuhan KDNK Sabah pada tahun 2022 naik 3.9 peratus tapi menyusut kepada 1.3 peratus pada tahun 2023 sekali gus menunjukkan bukan seperti apa yang dinyatakan.

”Kita ingin bertanya, dari mana angka 4.5 peratus itu Aksyah peroleh kerana setakat ini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) belum lagi mengeluarkan statistik KDNK Mengikut Negeri bagi tahun 2024.

“Namun, apa yang kita dapat lihat, Aksyah sebenarnya merujuk kepada Graf Kadar Pertumbuhan Ekonomi Negeri Sabah 2018 – 2024 yang direka untuk membohongi rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, Aksyah sebenarnya cuba menipu orang Sabah dengan memberikan data palsu sekali gus bukannya dari sumber yang sahih seperti DOSM.

“Memandangkan bekas pemimpin BERSATU Sabah itu baru menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) mungkin beliau tidak tahu Kerajaan Negeri gagal mencapai sasaran KDNK Sabah melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2020 – 2025.

“Berdasarkan Pelan tersebut, GRS membuat unjuran pertumbuhan KDNK Sabah bagi tahun 2022 dan 2023 masing-masing 4.0 peratus kepada RM81.8 billion (2022) dan RM88.5 billion (2023),” jelas Khairuddin.

Menurutnya, Kerajaan GRS hanya mampu mencapai pertumbuhan 3.9 peratus pada 2022 (RM82.1 billion) dan 1.3 peratus bagi tahun 2023 (RM83.1 billion).

“Kita ingin mengajak masyarakat Sabah menilai kenaikan harga barang dan kos sara hidup dibawah Kerajaan Warisan berbanding GRS+PH pada hari ini yang amat tinggi dan menekan rakyat.

“Untuk rekod, merujuk kepada Carta Indeks Harga Pengguna yang dikeluarkan oleh DOSM, kerajaan Warisan pernah mencatatkan peratusan inflasi terendah dalam sejarah Sabah iaitu 0.2 peratus pada 2019, berbanding pentadbiran GRS yang jauh lebih tinggi berlegar sekitar 1.3 peratus – 3.0 peratus.

“Setelah membentangkan fakta diatas, Aksyah dilanda ‘Denial Syndrom’ (Sindrom Penafian) dengan menafikan fakta bersumberkan DOSM menunjukkan pencapaian ekonomi Sabah lebih baik dibawah pentadbiran Warisan berbanding GRS,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles