PBS mahu kerusi DUN Bandau dikembalikan kepada PBS pada PRN-17

KOTA MARUDU: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Bandau menuntut agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau yang dipinjamkan oleh Presiden parti PBS kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Negeri Ke-16 (PRN16) lalu dipulangkan kepada PBS.

Advertisements

Ketua Pemuda PBS Bahagian Bandau, Junid Gunsalam yang juga Naib Ketua Pemuda PBS Negeri berkata, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Bahagian yang diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Simpang Tiga Langkon, di sini, Jumaat (2 Feb).

“Mesyuarat Bahagian PBS Bandau itu sebulat suara memutuskan untuk menuntut semula kerusi DUN Bandau yang telah dipinjamkan oleh Presiden PBS kepada BERSATU pada PRN16 yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri 15 ahli Jawatankuasa PBS Bahagian Bandau dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Bahagian PBS Bandau Julita Dalinsi.

Junid berkata, PBS Bahagian Bandau membuat keputusan tersebut kerana mahu kerusi DUN Bandau ditandingi oleh calon GRS daripada PBS pada PRN akan datang.

“PBS mahu meneruskan tradisi parti sejak tahun 1985.

“Kerusi DUN Bandau yang dahulunya dikenali sebagai DUN Langkon adalah kerusi tradisi PBS dari tahun 1985. Pada tahun 1999, kerusi DUN Langkon telah dimansuhkan dan kemudiannya diwujudkan semula pada tahun 2020 (PRN16) dan diberikan nama DUN Bandau.

“PBS Bahagian Bandau mempunyai 107 cawangan dengan ahli seramai 4,900 orang di seluruh kawasan DUN Bandau,” katanya.

Junid menambah, PBS Bahagian Bandau mempunyai beberapa pemimpin muka baharu yang boleh diketengahkan dan berpotensi untuk menang sebagai calon PBS/GRS pada PRN yang akan datang.

“Kerusi Bandau disandang oleh Datuk Wetrom Bahanda yang memenanginya sebagai calon parti BERSATU/PN pada PRN16 dengan majoriti 3,363 undi.

“Beliau kemudiannya keluar daripada parti BERSATU dan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) seterusnya menjadi calon Ahli Parlimen di kawasan Kota Marudu pada PRU yang lalu dan menang atas tiket parti PKDM,” katanya.

BERSATU merupakan salah satu parti daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan PBS sebagai satu pakatan iaitu GRS di Sabah pada PRN-16.

Bagaimanapun, selepas didaftarkan sebagai gabungan politik rasmi tahun lalu, GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor kini dianggotai oleh tujuh parti lokal iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin oleh Hajiji sebagai Presiden, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Liberal Demokratik Party (LDP).

Related Articles

253FansLike

Latest Articles