LKTNS Belanja RM62.7 Juta Bangun Ladang di Wilayah Pantai Barat

NABAWAN: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) melabur sebanyak RM62.7 juta tahun ini bagi pembangunan ladang-ladangnya di Wilayah Pantai Barat merangkumi daerah Keningau, Beaufort, Tenom, Kota Marudu, Tongod dan Nabawan.

Advertisements

Pengurus Besarnya, Encik Syaheddrul R Joddari berkata antara kerja-kerja pembangunan tanah yang dilaksanakan ialah Naiktaraf Jalan Perhubungan Ladang, Program Peningkatan Produktiviti Hasil Sawit, Naiktaraf Infrastruktur Ladang dan Perhubungan Utama, Jalan Perhubungan Desa, Naiktaraf Jalan Gravel Pertanian, Projek Pemajuan Kawasan (PPK), Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Katanya, LKTNS mensasarkan membina sebanyak 747 unit rumah dibawah PPRT tahun ini (2023) yang merangkumi 330 unit Bina Baru dan 417 unit Baik Pulih.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 247 unit PPRT telah siap untuk diduduki oleh golongan yang layak.

“Untuk Daerah Nabawan sejak tahun 2021 sehingga tahun 2023 sebanyak
RM19.2 juta telah dilaburkan untuk tujuan pembangunan tanah luar bandar
melibatkan peserta-peserta LKTNS”.

“Bagi PPRT di Nabawan pula, bagi tahun 2021 dan 2022 sebanyak 25 unit telah siap untuk diduduki, manakala tahun 2023 mensasarkan sebanyak 65 unit dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM3.5 juta”, katanya pada Program Hari Muhibbah Bersama Peneroka/Peserta LKTNS Peringkat Wilayah Barat-Nabawan 2023 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan pada Sabtu.

Pengerusi LKTNS, Datuk Abd Ghani Mohamed Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan merasmikan program itu. Turut hadir Pegawai Daerah Nabawan, Encik Peter bin Jiton.

Syaheddrul berkata, selain tanaman Sawit LKTNS ketika ini telah mula mempelbagaikan kegiatan pertanian untuk mempelbagaikan punca peningkatan ekonomi dikalangan penduduk luar bandar.

Menurutnya, antara tanaman jangkamasa singkat yang dikenalpasti dan telah
dimulakan ialah tanaman Nanas MD2 dan rumput Napier untuk ternakan lembu.

Beliau berkata, bagi tanaman jangkamasa panjang yang diusahakan ialah perladangan Durian Musang King dan Kelapa Pandan. Kepelbagaian tanaman ini perlu bagi kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk tanaman sawit disebabkan keadaan geografinya.

Menyentuh Program Hari Muhibbah, Syaheddrul berkata ia bertujuan memupuk hubungan yang harmoni dan mesra diantara peneroka,peserta dan LKTNS agar kedua-dua pihak saling mengenali, memahami fungsi dan menghargai peranan masing-masing dalam pembangunan dan kemajuan tanah selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Majlis ini juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan dan sumbangan LKTNS dalam pembangunan ekonomi dan sosial khususnya penduduk luar bandar negeri Sabah. Ini dapat membantu masyarakat menyedari pentingnya pelestarian dan kemajuan sektor pertanian dan perladangan”, tegasnya.

Antara pengisian Program Hari Muhibbah Bersama Peneroka/Peserta LKTNS ialah Pertandingan Bola Tampar, suka tradisi (menyumpit), pertandingan memasak tradisi, pertandingan fesyen Ratu Cilik, pertandingan karaoke terbuka, showcase -permainan digital (E-Games), selain booth pameran yang melibatkan Jabatan Pertanian, Open University, Jabatan Veterinary, Kolej Vokasional, Pertubuhan Peladang, Giatmara, Mahkamah Tinggi Syariah, Tabung Haji, Perkeso dan lain-lain.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles