RM10 juta geran khusus usahawan bumiputera Sabah, Sarawak di bawah Program BEEP Plus: Ewon

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM10 juta geran khusus untuk usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak menerusi Mikro Madani.

Advertisements

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta yang disediakan SME Corp Malaysia di bawah Program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.

Katanya, Program Mikro Madani menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro dalam bentuk geran dan pinjaman serta baucar untuk pendaftaran status PMKS melalui lima inisiatif utama.

“Lima inisiatif itu ialah Geran Perniagaan Mikro (GPM); Pembiayaan Perniagaan Mikro (Micro Biz Financing-MBF); Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE (Tunas Usahawan Belia Bumiputera); Program BEEP Plus Sabah dan Sarawak dan Baucar Status PMKS.

“Program TUBE yang menyediakan latihan dan geran kepada golongan belia yang ingin memulakan perniagaan juga terbuka kepada usahawan muda Sabah dan setakat ini pemohon yang paling ramai adalah dari Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kuih Bulan anjuran Pakatan Harapan (PH) Penampang, di Kapayan di sini, baru-baru ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau juga telah memperkenalkan Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia (YPPKM) kepada peniaga kecil masyarakat Cina di Sabah pada Mei lepas.

“Saya telah membawa YPPKM iaitu satu organisasi bukan kerajaan yang memberi pembiayaan mikro kepada peniaga kecil masyaakat Cina, buat pertama kalinya yang tidak pernah dibuat sebelum ini,” katanya.

Beliau berharap Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina dapat memberikan penerangan kepada usahawan masyarakat itu mengenai program-program dan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan untuk masyarakat Cina.

“Saya mahu menjadikan kementerian ini, kementerian yang dekat dengan masyarakat Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak. Itu sebabnya kita membawa agensi kita, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) membuka pejabatnya di Sabah,” katanya.

Ewon berkata, pembukaan pejabat INSKEN di Sabah sejajar dengan hasratnya memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak agar usahawan di negeri ini mendapat akses lebih mudah dan cepat mengenai bantuan latihan dan bimbingan daripada INSKEN.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles