KOTA MARUDU:Parti Bersatu Sabah (PBS) akan terus berjuang dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kerana itu seluruh ahli dan jentera parti perlu terus bersatu dan bekerjasama dengan parti-parti yang ada dalam GRS.
“Senario politik akan berubah-ubah dari masa ke semasa. Oleh itu, kita haruslah peka kepada keadaan persekitaran. Kawan pada hari ini mungkin akan menjadi lawan pada keesokan harinya.’
“Kalau tiada kerjasama dan kita bersaing antara satu sama lain ini akan memenangkan pihak lawan pada akhirnya”, tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian N7 Tandek kali ke-38 yang diadakan di Dewan Terbuka Pekan Tandek, di sini, kelmarin.
Mesyuarat agung tahunan PBS Tandek itu dihadiri oleh seramai 638 dan kehadiran ini menggambarkan sokongan yang masih kuat di kalangan ahli pbs.
“PBS adalah satu-satunya parti yang terus berdiri teguh sejak 38 tahun lalu. Perjuangan PBS amat murni iaitu memperjuangkan hak-hak orang-orang Sabah tanpa mengira status, bangsa dan agama serta disokong sampai bila-bila,” tegasnya.
Beliau menyeru semua ahli agar terus bersatu dan bersedia menghadapi apa jua tekanan daripada dalam dan luar parti.
“Kita juga perlu mencontohi prinsip pemimpin Agung parti yang merupakan pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang sederhana, tidak ekstrem, tetapi tegas dengan pendirian dan fokus segi kerjaya. ,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Beliau juga mahu melihat golongan muda turut memainkan peranan penting dalam parti.
Dr. Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ketua-ketua cawangan N7 Tandek yang berjaya menjalankan dan melaksanakan AGM masing-masing dan menghantar perwakilan kali ini.
Turut hadir ialah Bendahari Agung PBS, Datuk Lu Kim Yun; Ketua Exco Pergerakan Pemuda merangkap Pengerusi Penganjur, Christoper Mandut; Ketua-ketua Bahagian, Timbalan-timbalan Ketua Bahagian, Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS Pusat, Ketua-ketua Pemuda dan Wanita, Exco Pergerakan Wanita, Exco Pergerakan Pemuda, ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta para pemerhati mesyuarat.
Ketua Bahagian PBS Tandek, Hendrus Anding yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan mengucapkan terima kasih kepada Dr. Joachim yang telah merasmikan AGM kali ini.