KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan agar tidak berkunjung atau melakukan aktiviti menjala ikan dan memancing ikan, khususnya di kawasan yang dikhuatiri ada buaya.
Ahli Zoologi Institut Biologi Tropika & Pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr. Abdul Hamid Ahmad berkata langkah berjaga-jaga penting bagi menghadapi ancaman buaya susulan kehadirian reptil itu di beberapa kawasan tepi sungai dan pantai laut di negeri ini baru-baru ini.
Menurutnya buaya yang ditemui di Sabah kebanyakannyq jenis buaya tembaga yang boleh hidup di air masin atau laut dan air tawar.
Dr. Abdul Hamid berkata buaya boleh berpindah randah sama ada dari satu negeri ke negeri lain atau dari satu daerah ke daerah lain.
Oleh itu, katannya, orang ramai perlu berhati-hati bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu ancaman buaya di Sabah.
Sehubungan itu, Dr. Abdul Hamid menyambut baik tindakan Jabatan Hidupan Liar Sabah menembak mati buaya liar demi kebaikan dan keselamatan orang ramai, terutama komuniti maritim yang tinggal di pulau-pulau, tepi laut dan sungai.
Menurutnya populasi buaya di Sabah semakin bertambah sejak reptil itu dikategorikan sebagai haiwan yang dilindungi pada awal 80an.