UPKO perlu lalui transformasi politik – Madius

Teks Ucapan Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Advertisements

PENAMPANG: Para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi lagi dihormati. Kopisanangan! Kopivosian! Salam Sejahtera! Salam pisompuruan! Salam Perjuangan UPKO! Vanakkum! Ta Jia Hao!

1. Agaknya belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 kepada kita semua. Saya doakan agar tahun baharu 2023 dan tahun-tahun mendatang, akan membawa keberkatan yang melimpah ruah kepada kita semua, dan semoga kita terus diberikan kekuatan untuk menghadapi pelbagai cabaran politik baharu, demi membawa parti keramat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu UPKO– ke era yang lebih gemilang. Sebelum meneruskan ucapan ini Mari kita berdoa mengikut kepercayaan kita masing-masing. (Berdoa)

2. Bagi pihak pimpinan tertinggi UPKO, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan Ucapan terima kasih kepada sidang perwakilan dan pemerhati yang saya kasihi dan hormati sekalian diatas komitmen meluangkan masa untuk hadir, sekali gus menjayakan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO kali keenambelas pada pagi hari ini.

3. Dinamik politik tanah air dan Sabah mutakhir ini bukan saja membingungkan tetapi kompleks untuk difahami. Pemimpin-pemimpin politik khususnya, mereka tercabar untuk membuat keputusan yang bijaksana demi kelangsungan kepemimpinan politik yang mereka terajui. Kepada yang tersasar dalam perkiraan mereka boleh sesat dalam belantara politik yang bertambah kompleks.

4. Ditengah-tengah kemelut ini ialah rakyat. Rakyat tersepit. Dalam beberapa siri pilihanraya yang lalu rakyat telah membuat pilihan berasaskan kepada maklumat yang mereka terima dan juga tawaran ataupun janji-janji daripada calon-calon dan parti-parti politik yang bertanding.

5. Namun, apabila rakyat melihat gelagat pemimpin yang berlawan sebelum ini tetapi tiba-tiba berkawan malah bekerja dalam satu pasukan selepas pilihanraya, tentunya amat membingungkan. Kekadang saya tidak menyalahkan rakyat apabila ada yang berkata, “buat apalah kita berkempen? buat apalah kita berlawan kalau akhirnya kita bekerja bersama-sama pula dengan pihak lawan dalam satu pasukan kerajaan.”

6. Dalam hidup ini apabila kita berpolitik, kita sebenarnya berhadapan dengan pelbagai situasi seperti ini, yang nampak gayanya semakin menjadi norma dalam budaya berpolitik diera ledakan teknologi digital. Dan norma ini lambat laun akan menjadi budaya politik. Tentu sekali budaya baru ini memerlukan pendekatan kepemimpinan politik yang berbeda dan luar biasa.

7. Perubahan zaman, akan juga berubah dari segi pelbagai cabaran yang sudah tentunya memerlukan kita membuat keputusan sepanjang perjalanan sesebuah pertubuhan politik. Sebab itulah saranan Presiden Kehormat kita Tan Sri Bernard Dompok tetap relevan dari mula lagi agar kepemimpinan UPKO mengamalkan principle centred leadership atau “kepemimpinan berprinsip” ia itu satu idea yang diperkenalkan oleh Steven Covey dalam bukunya Principle Centered Leadership sebagai satu panduan menangani cabaran membuat keputusan. Terima kasihlah kepada Tan Sri selaku Presiden UPKO pada ketika itu kerana telah menghadiahkan senasakah buku tersebut kepada setiap Ahli Majlis Tertinggi UPKO pada ketika itu. Sama ada ahli-ahli AMT membaca dan menghayati kandungannya terpulanglah kepada peribadi masing-masing.

8. Saya pula selaku Presiden UPKO telah memperkenalkan “servanthood leadership ataupun “Kepemimpinan Berpelayanan” dengan mengambil The John Maxwell Bible sebagai sumber utama panduan pendekatan kepemimpinan berpelayanan. Saya juga telah memberi senaskah buku tersebut kepada setiap anggota Majlis Tertinggi UPKO. Saya berharap mereka membuat amalan membaca buku itu setiap hari!

9. Gadingan kepemimpinan Tan Sri Bernard dan saya mencetuskan satu pendekatan kepemimpinan iaitu kepemimpinan berprinsip dan berpelayanan. Gandingan pendekatan tersebutlah yang telah menjadi azimat kepemimpinan UPKO sehingga kita dapat mengatasi cabaran-cabaran perjuangan yang getir. Selain itu Tan Sri juga telah mencetuskan mantra UPKO iaitu this party UPKO must outlive me. Dan seterusnya Satu lagi mantra ia itu to be a good leader you must be a good follower. The UPKO leadership asked me to give way to then Deputy President to contest Tuaran Parliament in the 2008 General elections and I followed the request and this time the leadership asked me to make way for a new young leader to lead the party and I followed the request. Am I then a good leader?

10. Selepas pembubaran UPKO pada tahun 1968 orang-orang kita telah mengharungi belantara politik yang amat dahsyat. Malah kita masih berada di belantara politik sehingga pada ketika ini. Kalau dikira masanya, orang kita sudah berada di belantara politik selama 55 tahun lamanya. Banyak yang berada di dewan ini yang menjadi saksi hidup kepada hijrah politik di belantara tersebut.

11. Saya boleh ibaratkan hijrah tersebut seperti hijrah Mozes dari Egypt ke “the Promised Land” ia itu Canaan ataupun kini Israel. Selama 40 tahun lamanya Mozes membawa orang-orangnya yakni bani Israel dalam perjalanan tersebut tetapi dia hanya mampu tiba di sebuah bukit bernama bukit Nebo. Dari bukit tersebut seseorang boleh melihat “the promised land” dari jauh. Pelbagai cabaran dan karenah “pengikut” menyebabkan hijrah itu mengambil masa yang begitu lama.

12. Apa yang Mozes buat untuk memastikan orang-orang Israel akhirnya dapat sampai dan menakluki “the promised land” ialah dengan menyediakan dan seterusnya melantik kepimpinan pelapis iaitu Joshua. Riwayat ini dapat kita baca dalam buku Ulangan, Yosua dan Hakim-hakim dalam Perjanjian Lama Alkitab.

13. Paling menarik bagaimana akhirnya Joshua berjaya menyeberangi Sungai Jordan dan akhirnya menakluki apa yang dikatakan “the Promised Land”. Kepemimpinan serta strategi yang digunakan oleh Joshua wajib dipelajari oleh kita semua. Sehubungan itu Kita juga mesti mempelajari apa yang telah berlaku selepas kemangkatan Joshua. Pelbagai kaum di bawah pimpinannya telah cuba memperbanyakkan harta pusaka mereka dan akibatnya mereka berselisih faham dan bergaduh sesama sendiri. Akhirnya mereka bertambah lemah dan berpecah belah tidak ada pemimpin yang mampu memberi wawasan untuk negara. “In those days there was no king in Israel; everyone did what was right in his own eyes” Judg. 21:25

14. Yang menarik dalam hijrah bani Israel dari Egypt ke “Promised Land” adalah Tuhan senantiasa bersama-sama mereka. Tuhan berperanan dalam pelbagai segi seperti memberi “perlembagaan”, seperti “the Ten Commandment” Exodus 20: 3-17; menaikkan pemimpin; menghantar cabaran kepada pemimpin dalam bentuk malapetaka atau kekalahan; memastikan kemenangan dalam peperangan. Dengan lain perkataan peranan Tuhan peranan Tuhan maha besar “Divine intervention and guidance was key to the success of the journey and conquest”

15. Apa yang kita boleh pelajari daripada ini semua? Ya kita mesti dipandu dan dibimbing oleh iman kita masing-masing. Seterusnya iman itu datangnya daripada Firman Tuhan. Sebab itulah dahulu saya menjadikan John Maxwell Bible itu sebagai Perpustakaan sebagai sumber rujukan utama dalam membina dan membimbing kepemimpinan. Dengan 69 buah buku atau lebih dalam Bible itu sudah cukup menjadi perpustakaan rujukan untuk membina Kepimpinan.

16. Tentunya sumber rujukan dan panduan daripada kitab-kita agung daripada pelbagai agama yang ada seperti Al Quran untuk penganut Islam; The Luyu (Analects) pengikut Confucius; The Vedas pengikut agama Hindu dan; The Tripitakas pengikut agama Budhha. UPKO menggalakkan agar pemimpin-pemimpin kita senantiasa “do what is right”, to “right the wrong” and the source of the sense of right and wrong is from our respective spiritual immersion, faith and experiences.

17. Saya telah mengambil contoh hijrah Moses dari Egypt ke “the Promised Land” sebagai contoh sejarah perjuangan dan peranan kepemimpinan kerana hijrah ini adalah benar dan bukannya cerita dongeng semasa-mata. Namun perlu saya perjelaskan di sini, bahawa prinsip ini adalah berdasarkan konteks TELADAN KEPIMPINAN tokoh yang ada dalam Alkitab. Justeru, sekiranya terdapat pihak yang cuba memutarbelitkan kata-kata saya yang kononnya saya seorang pelampau Kristian dan anti kepada agama lain, itu tidak benar saudara dan saudari. Sesungguhnya, hampir setiap tahun malah setiap masa sekiranya mampu saya menyumbang bakti kepada rumah-rumah ibadat dan malah sentiasa berkunjung dan terus dekat kepada semua rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah khususnya di kawasan saya di Tuaran.

18. Dalam kepimpinan sudah tentulah tentulah saya mahu memperomosikan kepemimpinan berprinsip dan berpelayanan bukan hanya sebagai satu legasi tetapi saya sangat yakin bahawa “this is simply the right thing to do if we in UPKO want to reach “the promised land, we could be lost if we don’t have the compass’. Saya ingin menerjemahkan “the promised land” dalam kacamata UPKO sebagai bukan sahaja satu destinasi malah satu wawasan yang mesti kita boleh “lihat”, kita boleh ceritakan dan kita seterusnya boleh di impikan supaya kita dapat pimpin UPKO dan orang-orang kita terus berjuang sehingga sampai ke destinasi tersebut. Barangkali pertanyaan disini ialah apakah maksud “destinasi” tersebut? Apakah wawasan tersebut? Apakah ciri-ciri ataupun cabaran strategik wawasan yang saya maksudkan?

19. Saya ingin zahirkan destinasi tersebut dengan menggunakan teknik forced field analysis iaitu satu teknik dimana kita kenalpasti apa yang kita tidak suka pada hari ini dan apakah yang kita mahu ataupun suka diamalkan dalam urustadbir kerajaan yang kita impi-impikan.

20. Pertamanya, yang rakyat benci selama ini ialah amalan politik perkauman dan pilih kasih dalam perlantikan, pemberian, penganugerahan, pengagihan dan keutamaan. Selama lebih 55 tahun semuanya ini diputuskan berasaskan kaum, bangsa dan agama dijadikan sebagai modal politik. Kita melihat perkara ini bukan sahaja tidak adil dan ada pihak yang merasa tersisih dan terpinggir tetapi amalan seperti ini juga sangat merugikan masyarakat, bangsa dan negara. Sebaliknya apa yang kita impi-impikan ialah masyarakat hidup harmoni, aman damai dan sejahtera kerana amalan urus tadbir yang berintegriti, adil, saksama, berasaskan bakat, kompetensi, kejujuran, keikhlasan dan kesetiaan sebagai amalan dan prinsip dalam urus tadbir dan pelayanan kerajaan.

21. Kedua, rakyat juga benci kepada amalan sikap angkuh, berbohong, menabur kebencian dikaangan sesama, pelampau agama, penipuan dan menyamun sebagai amalan yang boleh merosakkan dan merugikan masyarakat, bangsa dan negara. Sebaliknya rakyat mahukan amalan nilai-nilai kepemimpinan seperti: moderation ataupun kesederhanaan; rendah diri; kasih sayang; sukacita; damai sejahtera; kesabaran; kemurahan; kebaikan; kesetiaan; kelemahlembutan; dan penguasaan diri. Nilai Nilai murni seperti inilah yang rakyat mahu dilakukan dan diamalkan dalam urus tadbir kerajaan yang inklusif serta mengambilkira kepelbagaian masyarakat majmuk yang berbilang keturunan, agama dan agama.

22. Ketiga, rakyat muak dan benci kepada perbuatan rasuah, salah guna kuasa, bertindak diluar batas undang-undang yang diamalkan secara sewenang-wenangnya. Urus tadbir negatif seperti ini mesti diperangi. Masalah kebanjiran warga asing di Sabah adalah contoh terdekat tentang akibat daripada salah guna kuasa dan perbuatan rasuah. Sementara kehilangan Pastor Raymond, Pastor Joshua dan Amri adalah diantara contoh dimana ada pihak yang bertindak diluar batas undand-undang. Sebaliknya rakyat mahu agar masalah seperti ini hendaklah dihentikan jangan sekali-kali dibiarkan menjadi kebiasaan sebaliknya dibenci oleh masyarakat madani.

23. Keempat, kita juga melihat dari segi taraf hidup dan jurang ekonomi rakyat. Pada masa kini, kita masih melihat ramai yang hidup susah terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar. Ini terbukti apabila diumumkan bahawa lapan dari 10 daerah termiskin di Malaysia adalah terdapat di Sabah. Bukan itu sahaja, malah ada juga golongan yang dikelaskan sebagai miskin bandar. Kita mahukan rakyat yang berdaya saing dan mempunyai kestabilan ekonomi, serta mempunyai kuasa beli yang seiringan dengan kadar harga barangan semasa sebagai contoh.

24. Kelima, berkaitan dengan kemudahan asas di Sabah. Masalah bekalan air bersih, jalan raya, elektrik dan macam-macam lagi. Tahun ini kita sudah 60 tahun membentuk negara Malaysia. Namun masih banyak kawasan di Sabah yang masih belum mempunyai jalan perhubungan yang baik. Masih banyak jalan yang tidak dapat dilalui. Masih terdapat perkampungan yang tiada bekalan elektrik. Kalau air, jangan cakaplah. Bukan sahaja di kampung-kampung, tetapi di bandar isu bekalan air ini sentiasa menjadi isu hangat hingga ke hari ini. Begitu juga dengan akses liputan jaringan internet dan sebagainya.

25. Yang keenam, saya juga ingin menyentuh tentang fasiliti pendidikan di Sabah. Pada tahun 2020, Menteri Pendidikan pada ketika itu, Mohd. Radzi Md. Jinin berkata, Sebanyak 466 buah sekolah di seluruh Sabah berada dalam keadaan tidak selamat untuk digunakan mengikut analisis skor gred impak yang dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Saudara dan saudari, jumlah itu merupakan sebuah jumlah yang besar, dan kita harapkan dalam tempoh dua tahun ke hadapan ini, telah ada penyelesaian untuk sekolah-sekolah yang sudah tidak selamat untuk digunakan itu. Point penting yang saya ingin nyatakan di sini, bahawa kita tidak mahu isu-isu sebegini masih wujud apabila kita sudah berada pada ‘promise land’ nanti. Ia belum lagi termasuk isu-isu kanak-kanak keciciran sekolah dan juga kualiti pendidikan yang semakin menurun.

26. Dan begitu juga dengan fasiliti kesihatan. Bagi menjamin kesejahteraan masyarakat sudah tentu kemudahan seperti hospital-hospital dan juga klinik-klinik kesihatan di luar bandar perlu diperhebatkan. Kita tahu terdapat kes-kes ibu mengandung bersalin dalam kereta semasa perjalanan ke hospital, anak-anak sakit terlantar di rumah kerana tidak mampu atau jarak dengan pusat kesihatan jauh. Malah ada sesetengah kes hingga menyebabkan ada nyawa yang terkorban. Kita tidak mahu ini terus berlarutan. Banyak lagi isu lain yang kita boleh katakan, dan itulah yang ingin UPKO perjuangkan menuju Wawasan yang saya maksudkan sebagai the ‘Promise Land.’

27. Dalam hal ekonomi Sabah sebagai the ‘Promise Land’ mesti menjadi hub ekonomi dimana Sabah mempunyai daya tarikan pelabur yang hebat sama ada pelabur asing mahupun dalam negeri. Pelaburan adalah sangat penting untuk menjana pekerjaan dan perniagaan. Untuk ini berlaku kita mesti atasi setiap penghalang pelaburan termasuklah masalah bekalan air, bekalan eletrik, jaringan internet, logistik, pelabuhan dan perkapalan, kewujudan sumber manusia yang berketrampilan dan berintegriti dan tentu sekali kepemimpinan politik yang disegani dan mampu mempertahankan kestabilan politik adalah sangat kritikal.

28. Secara ringkasnya, ‘Promise Land’ ini adalah dimana seluruh rakyat Sabah menikmati kemakmuran dan kesejahteran dalam pelbagai aspek. Pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik dan budaya. Segala kemudahan asas adalah lengkap dan tersedia untuk dinikmati masyarakat pelbagai lapisan di seluruh pelusuk daerah. Akses kesihatan dan pendidikan yang lengkap dan selesa untuk dinikmati masyarakat majmuk. Semuanya harmoni, riang gembira dan hidup sejahtera.

29. Kesimpulannya, kita mahu berhijrah ke suatu era sebuah kerajaan yang dipimpin dan di urustadbirkan dengan amalan Integriti yang tinggi, tiada rasuah dan salah guna kuasa, bakat-bakat dan kompetensi sebagai asas utama dalam membuat keputusan pada ketika membuat: perlantikan; kenaikan pangkat; pengagihan peluang-peluang; pemberian; hidup rukun damai, amalan demokrasi yang sejati, kematangan dalam perpaduan masyarakat majmuk penuh dengan kemakmuran dan ekonomi yang mampan dan lestari. Inilah Wawasan, inilah ‘Promise Land’ yang menjadi hala tuju perjuangan UPKO untuk negeri Sabah tercinta.

30. Mengimbas kepemimpinan yang saya lalui, tentunya saya mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Tan Sri Bernard yang telah menjadi mentor dan memberi peluang kepada saya menabur bakti kepemimpinan. Saya mohon maaf banyak-banyak kepada Tan Sri kerana saya gagal memenuhi expectations beliau yang begitu tinggi. Tan Sri, I am sorry but I have done to the best of my ability.

31. Kepada saudara dan saudari yang telah memberikan sokongan yang solid kepada saya dalam mengemudi UPKO sejak tahun 2014 saya ucapkan terima kasih. Kepada yang yang tidak menyokong saya juga mengucapkan terima kasih sekurang-kurangnya saya tahu siapalah saya ini. Saya apa yang boleh dibaiki dalam kepimpinan saya. Sejujurnya segala keringat saya curahkan dan tumpukan kepada UPKO selama saya menerajui kepemimpinan UPKO. Saya sedar bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk menerajui sebuah parti politik. Tetapi amanah dan kepercayaan telah saya laksanakan dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab demi kepentingan parti kita, ahli-ahli kita dan rakyat. Sesungguhnya saya tetap mengutamakan kepentingan ahli dan parti. Langkah dan keputusan yang dibuat, dalam semua waktu di bawah kepemimpinan saya, adalah secara konsensus dan secara bersama, dibuat, diputuskan dan dilaksanakan secara strategik. Barisan kepimpinan saya, dalam pasukan saya selama ini, adalah bukti nyata.
32. Sesungguhnya Mesyuarat Agung Tahunan kali ini cukup bermakna daripada banyak segi. Pertamanya, sudah tentu ekoran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU). Ia julung kali diadakan selepas berlangsungnya PRU15. Kedua, kerana ramai menantikan, bukan sahaja dalam parti malah dari luar parti, mengenai proses peralihan baton kepimpinan parti, yang berjalan dengan lancar dan aman, meskipun ada pihak yang mahu melihat UPKO ini berpecah belah, dan telah mengambil banyak usaha untuk melihat kehancuran parti yang kita sayangi ini. Kalau UPKO kecundang dalam semua kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam PRU15, tentunya UPKO sudah hancur seperti yang diramal dan diandaikan oleh banyak penganalisis. Saya boleh mengambil pendekatan berbeza untuk kekal memimpin UPKO, tetapi saya memutuskan sebaliknya, menyerahkan tampuk kepimpinan kepada barisan lebih muda untuk memimpin UPKO dan meneruskan kecemerlangan dan kegemilangan parti kita. Disebalik itu saya berjuang siang dan malam mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran selama hampir dua tahun. Walaupun diramalkan tersungkur namun ketabahan dan semangat Fokus Berani dan Ikhlas kita menang.

33. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli dan para perwakilan yang memberi sokongan mempertahankan kerusi Presiden dalam pemilihan beberapa bulan lalu. Ia dengan sendiri membuktikan kemahuan saudara/i ke atas saya untuk terus memimpin sehingga sekarang, namun saya sudah membuat keputusan akan memberi laluan kepada Naib Presiden YB Ewon untuk mengambil alih kepimpinan pada hari ini.

34. Apabila saya diberikan kepercayaan untuk mengetuai UPKO satu dekad yang lalu, saya telah memaklumkan kepada para ahli dan perwakilan bahawa saya akan mengutamakan kepentingan parti, bukan kepentingan diri saya. Saya tidak mengejar jawatan atau mengimpikan jawatan Presiden. Tidak sama sekali. Saya tahu bahawa jawatan Presiden ini bukan satu tugas yang mudah. Situasi ketika itu telah membawa saya ke jawatan Presiden. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Bernard Dompok kerana telah meletakkan jawatan sebagai Presiden UPKO untuk membolehkan saya selaku Timbalan Presiden menjadi Pemangku Presiden UPKO dan akhirnya dilantik sebagai Menteri Persekutuan diatas kehendak parti. Saya mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan kerana telah memberi segala kekuatan untuk meletakkan parti yang kita sayangi ini di kedudukan yang lebih baik. Saya bangga dengan pencapaian itu, meskipun ada cakap-cakap sebaliknya, yang secara tidak langsung mengecam dan mengkritik. Apa yang penting niat saya dalam memastikan kelangsungan parti. Pada tahun 2018, ketika PRU ke-14 kita hanya memenangi satu kerusi Parlimen. Hari ini kita ada dua kerusi di Parlimen. Salah seorang daripada kami menjadi anggota Jemaah Menteri dan bergelar menteri. Tahniah saya ucapkan.

35. Hari ini UPKO merupakan salah satu komponen dan anggota keluarga Pakatan Harapan, yang menerajui Kerajaan Perpaduan di Pusat. UPKO diberikan status penting dalam Pakatan Harapan, dan dilihat sebagai rakan parti politik penting yang memperkukuhkan kedudukan Pakatan Harapan dalam politik nasional. Pada tahun 2018 kita memutuskan untuk keluar Barisan Nasional. Dan, kita tidak menyesal kerana mengambil keputusan penting itu pada masa tersebut.

Para perwakilan yang saya kasihi lagi hormati

36. Mengambil kira kepada suasana di dewan ini pada pagi ini, saya boleh melihat bahawa ahli-ahli UPKO telah menunjukkan satu suasana yang sungguh berbeza lagi konstruktif. Mereka tetap menyokong perjuangan kita, perjuangan UPKO. Mempertahankan dan mengekalkan kesetiaan ahli-ahli parti juga bukan tugas yang mudah. Tetapi kita berjaya dalam misi ini, meskipun ada sebahagian kecil meninggalkan kita, parti ketika UPKO berhadapan dengan kitran laluan yang sukar sebelum ini. Ramai daripada mereka tidak percaya dan yakin dengan perjuangan UPKO. Ramai daripada mereka tidak yakin dengan masa depan UPKO. Ini lumrah dalam perjuangan politik. Kita perlu hadapi dengan tenang dan kental setiap detik – turun naik dalam politik. Saya bangga kerana kita telah berjaya. Terima kasih semua yang setia bersama UPKO. Yakinlah kepada perjuangan parti. Kita akan tetap berjaya dan akan terus berjaya dalam perjuangan politik yang tiada kesudahan.

37. Semua sedia maklum bahawa UPKO telah mengharungi setiap perjalanan turun naik sejak pertama kali UPKO ditubuhkan, lima dekad yang lalu. Parti kita menjelma semula atas nama Parti Demokratik Sabah (PDS), yang digerakkan oleh Ybhg Tan Sri Bernard Dompok sejurus selepas pilihan raya negeri Sabah pada Mac 1994. Beliau kemudian menjadi Ketua Menteri Sabah di bawah sistem penggiliran.

38. UPKO memenangi tiga kerusi parlimen pada pilihan raya 1999, dan empat pada pilihan raya 2004 serta 2008. Pada pilihan raya umum Malaysia, 2013, jumlah kerusi dimenangi UPKO menurun kepada empat kepada tiga kerusi persekutuan dan daripada enam kepada empat kerusi Dewan Undangan Negeri.

39. UPKO merupakan salah satu parti komponen dalam gabungan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia sehingga 2018. Semasa menjadi anggota kerajaan persekutuan BN, UPKO sering mengutarakan isu-isu berkaitan dengan dasar kerajaan yang menjejaskan kebebasan beragama khususnya dalam hal penggunaan kalimah Allah. Ybhg Tan Sri Bernard telah mempertahankan hak kebebasan beragama terutamanya Orang Asal Malaysia. Beliau juga memperjuangkan agar Integriti dalam urustadbir kewarganegaraan hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dengan memberikan kata dua kepada Kerajaan Pusat ketika itu dan akhirnya UPKO berjaya memaksa penubuhan RCI mengenai pendatang tanpa izin di Sabah. UPKO juga turut serta memperjuangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang selama lebih 50 tahun membenarkan penahanan tanpa tuduhan dalam keadaan tertentu. Undang-undang itu telah dimansuhkan pada tahun 2011.

40. Pada pilihan raya umum 2018, UPKO hanya memenangi satu kerusi parlimen dan lima kerusi DUN. Susulan itu, saya selaku pemangku presiden parti telah mengumumkan bahawa UPKO dengan lima anggota kerusi Dewan Undangan Negeri akan meninggalkan BN untuk membentuk kerajaan campuran dengan Parti Warisan Sabah, bersama PKR, DAP dan Amanah yang menjadi parti rakan Pakatan Harapan. Itu semua sejarah. Barangkali langkah menjadi rakan bersama Pakatan Harapan itu menjadi berkat pada hari ini.

41. Pada satu waktu UPKO telah hilang buat sementara daripada radar politik negara. Kemudian UPKO telah dihidupkan semula oleh sebahagian daripada kita yang berada di dewan ini. Hari ini, UPKO berdiri teguh di sebalik cabaran dan sistem politik yang semakin kompleks. Pendek kata, di sebalik pelbagai cabaran dari dalam dan luar parti, UPKO tetap kekal dengan nama asal – UPKO – walaupun telah beberapa kali berubah nama dan diberikan nama baru.

42. Kita tidak boleh melupakan dan menafikan sumbangan secara langsung dan secara tidak langsung yang telah dibawakan oleh UPKO dan barisan kepemimpinannya sejak parti ditubuhkan. Pemimpin UPKO pernah menjadi Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, dan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan. Ia telah memberi ruang kepada kita untuk menyumbang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat yang mengharapkan sokongan UPKO. Saya ingin berkongsi beberapa sumbangan signifikan parti kita kepada rakyat terutama rakyat Sabah. Antaranya termasuklah:

a. PERJUANGAN MENJADIKAN BAHASA KADAZANDUSUN SEBAGAI SUBJEK DIAJAR DALAM SISTEM PERSEKOLAHAN MALAYSIA.
b. PENUBUHAN DEWAN PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN KADAZANDUSUN & IMPAKNYA KE ATAS KOMUNITI MASYARAKAT MOMOGUN
c. PENGGUBALAN DASAR PELANTIKAN ANGGOTA PENTADBIRAN SEKOLAH-SEKOLAH MUBALIGH
d. MENGILHAMKAN SISTEM PENTADBIRAN PEMILIKAN TANAH ADAT (PANTAS) SEBAGAI STRATEGI MEMPERTAHANKAN HAK PEMILIKAN TANAH ADAT NEGERI DI SABAH
e. DESAKAN DAN AKHIRNYA DIADAKAN RCI UNTUK MENGUPAS ISU PROJEK IC
f. GESAAN SUPAYA KERAJAAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN MENGAMBIL TINDAKAN HOLISTIK MEMBANTERAS PEMBANJIRAN PENDATANG WARGA ASING MELALUI PENDEKATAN EMPAT KATEGORI
g. MENDAPATKAN KELULUSAN KERAJAAN AGAR SUBJEK BIBLE KNOWLEDGE (BK) BOLEH DIAMBIL DALAM PEPERIKSAAN SPM
h. MENDAPATKAN KELULUSAN DASAR JADUAL PEPERIKSAAN AWAM AGAR DIADAKAN HANYA PADA HARI ISNIN HINGGA KHAMIS SAHAJA
i. MENDAPATKAN KELULUSAN DASAR KERAJAAN AGAR SABAH DAN SARAWAK DIBERI HAK MENGENDALIKAN COLLECTION MANAGEMENT ORGANISATION (CMO) KEPADA MUSICIAN, PENGUBAH LAGU DAN PENYANYI
j. MENGHALANG PEMINDAHAN PENDUDUK PENEMPATAN SRI TANJUNG DEKAT LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KOTA KINABALU KE KG. MAANG PENAMPANG
k. BERJUANG UNTUK MEWARTAKAN KAMPUNG KIPUNGIT SEBAGAI PENEMPATAN PENEROKA BANDAR DARI KALANGAN ORANG ASAL IA ITU SATU PENEMPATAN I KOTA KINABALU, BERHAMPIRAN HOSPITAL QUEEN ELIZABETH

43. Dan banyak lagi sumbangan kita kepada rakyat dan negara…, dan kita mampu meneruskan rekod ini. Kita ada kekuatan dan kelebihan sebagai antara parti politik tertua yang masih segar dengan kualiti kepimpinan. Kita boleh pergi jauh dalam perjuangan kita. Jangan berputus asa dan jangan cepat kecewa kalau kita kecundang sementara.

44. Apabila UPKO tidak memperoleh kerusi yang disasarkan dalam Pilihan Raya Umum Negeri atau Parlimen, musuh kita memberi tanggapan bahawa UPKO tidak akan hidup atau kekal lama, sebaliknya akan berkubur ataupun tersungkur. Tetapi kita telah menafikan tanggapan-tanggapan cemburu itu, dan telah membuktikan bahawa kita boleh membangunkan semula parti kita, meskipun berhadapan dengan pelbagai rintangan, halangan dan kekangan termasuk kekangan kewangan dan selamanya. Ini yang kita telah buktikan dalam PRU15 yang berlangsung pada 19 November lalu. Kita ditawarkan lima kerusi Parlimen sahaja. Meskipun kita boleh minta lebih banyak kerusi, tetapi kita memilih untuk bertanding di kerusi-kerusi yang strategik. Sekali lagi, ramai pihak termasuk musuh kita bertanggapan bahawa UPKO tidak akan memperoleh sebarang kerusi Parlimen dalam PRU15 yang baru lalu. Tetapi berkat kesungguhan, komitmen dan kerja keras ahli-ahli kita, kita telah menyusun perancangan, pendekatan dan ruang yang strategik dan bersinergi dengan pelbagai pemegang taruh untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik. Kita menang dua daripada lima kerusi ditandingi, dan kita berada di kedudukan yang membanggakan di kedua-dua peringkat negeri dan pusat berbanding ketika PRU ke-14 lima tahun yang lalu.

45. Jadi, UPKO kembali dilihat sebagai sebuah parti yang disegani dan dihormati di kedua-dua peringkat. Percayalah, kita boleh lakukan. UPKO boleh lakukan. Jika kita bersatu padu dan terus memelihara solidariti dalam kalangan kita, kita boleh pergi jauh dalam politik, dan muncul sebagai kuasa penting dalam proses membuat dasar kerajaan dan negara, memakmurkan rakyat dan memainkan peranan besar dalam proses pembangunan negara bangsa. Jangan hanya mementingkan kepentingan jangka pendek dan kepentingan diri semata-mata. Sama ada kita ada kerusi atau jawatan, terus berikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan pengundi. Ingat, rakyat adalah kuasa penentuan survival parti, dan UPKO telah membuktikan banyak kali sepanjang lima dekad lalu.

46. Kita perlu memikirkan pendekatan bertenaga yang diperlukan untuk lima dekad akan datang. Lima puluh datang akan datang. Di manakah kita akan berada dalam 50 tahun akan datang. Saya akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada generasi muda pada hari ini. Amanah dan tanggungjawab ini harus diteruskan demi survival UPKO.

Kita ada banyak cabaran, yang dihadapi oleh rakyat jelata setiap hari. Begitu juga Negeri Sabah dan Malaysia pada keseluruhannya. Barisan kepimpinan UPKO telah melakukannya, ia sedang direalisasikan oleh kepimpinan semasa, di bawah teraju saya, dan saya pasti dan mahu kecemerlangan ini diteruskan. Kita perlu membawa UPKO ke kedudukan yang lebih membina dan konstruktif.

47. Para perwakilan yang saya hormati. Mengambil kira Sabah kini kembali ditakrifkan sebagai “wilayah”, dana dan peruntukan juga perlu seimbang. Sabah dan Sarawak perlu diperuntukan satu pertiga dana Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara, dan juga belanjawan tahunan. Keperluan ini perlu diinstitusikan. Bukan hanya satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, yang menjadi perhatian baru-baru ini, tetapi satu pertiga pembangunan, peruntukan dan dana serta perhatian yang seimbang.

48. UPKO mahu dan harus fokus dan tumpuan yang lebih luas diberikan Sabah dan Sarawak merangkumi setiap aspek kehidupan rakyat – kemudahan dan prasarana yang berkualiti, yang merupakan asas kepada taraf sosioekonomi.

49. Apabila kita bercakap mengenai sasaran mencapai matlamat SDG atau Matlamat Pembangunan Lestari, ia tidak harus kekal di bibir dengan mendakwa Malaysia menerima pakai SDG yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia harus diterjemah dan dilaksanakan bagi membawa pembangunan mapan.

50. Kita tidak mahu Sabah kekal tinggal sebagai negara miskin dalam 50 tahun lagi. Kita tidak bercakap mengenai ketiadaan kemudahan air berkualiti dalam 50 tahun lagi. Kita tidak mahu bercakap mengenai kewujudan sekolah yang uzur dalam 50 tahun lagi. Senarai ini akan memanjang jika hendak disebutkan satu per satu.

51. Sebenarnya inilah keadaan yang kita saksikan pada hari ini, alami pada hari dan harungi pada hari ini. Dasar diskriminasi pembangunan dan pertumbuhan Sabah harus dikikis. Kerajaan Persekutuan perlu mengadakan perbincangan mengenai hala tuju pembangunan negara supaya segala kekurangan, kelemahan dan kekurangan dasar diambil tindakan pembetulan dengan segera.

52. UPKO akan terus mengetengahkan keperluan ini. UPKO pohon sokongan kepada UPKO dalam perjuangan demi rakyat Sabah. Kita berada dalam kedudukan lebih baik untuk membawa kemakmuran, kesejahteraan dan pembangunan untuk Sabah, rakyat Sabah dan juga rakyat Malaysia dan itulah “Promise Land” yang ingin kita capai.

53. Hari ini kita berada dalam lanskap politik baharu. Ia memerlukan pendekatan kepemimpinan yang baharu. Saya pohon semua pihak dalam parti akan memainkan peranan yang lebih efektif, bersandarkan kepada pendekatan baharu, untuk berjaya dalam perjuangan kita. Utamakan faedah jangka panjang untuk parti dan rakyat.

54. Dengan harapan setinggi Gunung Kinabalu ayuh kita bangkit dan berdiri semua untuk menyatakan kebangkitan semangat baru demi mencapai wawasan dengan menyatakan UPPPKKKOOO! UUUPPKKOOO! UUUPPPKKKOOO! dengan iringan semangat Kebangkitan tersebut …saya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-16.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles