Pertumbuhan luar biasa penduduk Sabah wajarkan penubuhan Jawatankuasa Audit dan Forensik Pemilih- Madius

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan penduduk Sabah yang sangat luar biasa dengan lebih satu juta orang pemegang Kad Pengenalan yang diragui mewajarkan penubuhan Jawatankuasa Audit dan Forensik Pemilih.

Advertisements

Ketika membuat gesaan itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata jawatankuasa itu perlu diwujudkan bagi mengaudit senarai pengundi yang didaftar secara automatik.

Madius berkata ia penting bagi membersihkan pengundi yang memegang dokumen Kad Pengenalan yang diragui terutamanya di Sabah dan pengundi yang sudah meninggal dunia sebelum ianya digunakan dalam PRU15.

“Pelbagai kajian telah dibuat oleh para sarjana tentang gejala pertumbuhan penduduk Sabah yang sangat luar biasa dengan lebih satu juta orang pemegang Kad Pengenalan yang diragui.

“Oleh itu Integriti senarai pemilih di Sabah sangat penting untuk diperbetulkan,” katanya ketika membahas titah diraja pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, kerajaan juga harus mengakui dan mempertimbangkan dengan teliti kesaksian individu seperti Jabar Khan Napi dan Hassnar Ebrahim semasa sesi Sidang Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti di Bangunan Parlimen pada 26 Februari 2007.

“Kenyataan kedua-dua saksi tersebut, terdapat dalam hansard parlimen, belum pernah disangkal oleh mana-mana pihak,” katanya.

Madius berkata pertumbuhan penduduk sangat luar biasa di Sabah itu menyaksikan jumlah penduduk bertambah daripada 454,561 orang pada 1961 kepada 3.8 Juta pada tahun 2021.

“Berbanding penduduk Sarawak pada 1960 yang sudah ada 744,529 orang tetapi tahun 2021 penduduk Sarawak hanyalah 2.8 Juta.

“Penduduk Sabah mengatasi penduduk Sarawak dengan lebih satu juta orang. Pertumbuhan penduduk luar biasa di Sabah adalah disebabkan oleh perbuatan khianat pemimpin-pemimpin yang gila kuasa dan pangkat seperti yang disebut oleh Jabar Khan dan Hassnar Ibrahim dalam kesaksian mereka,” katanya.

Beliau berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Kebanjiran PATI di Sabah juga sarat dengan pembuktian yang disampaikan oleh pelbagai saksi namun sudah sembilan tahun berlalu, rekomendasi dalam laporan tersebut belum dilaksanakan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles