Jambatan Gantung Tamparuli semakin Selamat dikunjungi waktu malam

TAMPARULI: Jambatan Gantung Tamparuli kini lebih selamat untuk dikunjungi dan dilalui pada waktu malam apabila telah dipasang lampu solar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, berkata, jambatan berkenaan telah dilengkapi dengan lampu solar bagi menerangi kawasan di sepanjang laluannya.

“Tujuan pemasangan lampu (solar) ini sudah tentulah untuk keselamatan pengguna jambatan, selain kepada pengunjung yang datang pada waktu malam,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, berkata, pemasangan lampu tersebut sudah tentu memberi satu lagi nilai tambah kepada kemudahan itu yang sebelum ini telah ditambah seri dengan lukisan mural cantik bercorak tempatan (Linangkit dan Lelawangan).

Malah, di kedua-dua hujung jambatan gantung berkenaan turut mempunyai tarikan tersendiri.

Salah satunya adalah pertunjukan kebudayaan alat muzik berasaskan bambu, oleh kumpulan kebudayaan tempatan, sambil mengenakan busana tradisi Sabah.

Sungai dan Bukit Ruhiang (Bukit Perahu), yang menjadi latar belakang jambatan gantung itu juga sudah tentu menjadi tarikan pelancong.

Manakala di seberang berhampiran pasar kering Tamparuli pula, terdapat ‘The Wall Of Tamparuli’, yang menyaksikan lukisan mengenai legenda ‘Solungkoi’, seorang wanita yang telah dikorbankan ketika membina Jambatan Tamparuli (jambatan besi zaman British) yang lebih kukuh, juga menarik untuk dikunjungi.

Untuk rekod, jambatan itu dahulunya dalam keadaan gelap gelita dan belum selamat untuk dilalui pada waktu malam.

Namun atas usaha beliau (Jahid) bersama kepimpinan di peringkat daerah, di samping mengambil kira keselamatan penduduk dan pengunjungnya, maka lampu tersebut akhirnya dipasang.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, memberitahu, selain lampu solar, turut dipasang adalag lampu berwarna-warni bagi menambah seri kawasan jambatan tersebut pada waktu malam.

Justeru, beliau memohon kepada semua penduduk dan pengunjung agar sentiasa menjaga kemudahan yang disediakan itu dengan baik, di samping menjaga kebersihan kawasan berkenaan, dan menjaga keselamatan diri semasa berkunjung pada waktu malam.

Bagi penduduk di sini terutamanya para peniaga di sekitar jambatan gantung dan Pekan Tamparuli pula, sudah tentulah kehadiran pelancong ke jambatan itu nanti akan lebih memeriahkan lagi kawasan itu.

“Syabas dan tahniah kepada Wakil Rakyat dan pemimpin Tamparuli kerana telah memikirkan perkara yang sangat baik untuk menaikkan nama Tamparuli ke mata dunia,” kata Josh, 29 tahun, seorang pengunjung, yang kebetulan baru selesai bersenam di Trek Joging Tamparuli.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles