PAGOH; Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) pada kali ini dilaksanakan secara “Walkabout” turun padang memberikan peluang kepada usahawan agromakanan tempatan untuk berinteraksi secara terus bersama pihak Kementerian yang diketuai oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Program pada kali ini melibatkan pemain industri dalam sektor agromakanan yang berasaskan nanas merangkumi pengusaha penanaman nanas sehingga pengusaha produk hiliran berasaskan nanas yang berdaftar di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Daerah Pagoh, Negeri Johor.
Turut sama pada program ini adalah YB Dato’ Dr Sahruddin bin Jamal, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), YBhg. Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI dan Encik Onn Abdul Shukur bin Tahiruddin, Timbalan Ketua Pengarah LPNM.
Jelajah DIA2022 merupakan program secara bersasar yang telah dirancang oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ekoran kepada kejayaan Program Dialog Industri Agromakanan bertitik tolak pada 10 Februari 2022 di Dewan Serbaguna MAFI untuk memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara menerusi idea, pandangan dan cadangan para pemain industri dalam memacu hala tuju sektor agromakanan khususnya berkaitan sekuriti makanan supaya seiring dengan keperluan semasa.
Melihat kepada keseluruhan industri nanas negara, Negeri Johor merupakan negeri yang mempunyai keluasan penanaman nanas terbesar dan lestari di Malaysia. Pada tahun 2020, Negeri Johor mencatatkan keluasan penanaman seluas 10,253 hektar iaitu 61% daripada keseluruhan keluasan penanaman nanas negara iaitu 17,000 hektar diikuti dengan Negeri Sarawak dan Sabah.
YB Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Ronald Kiandee berkata, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak lebih daripada RM 900 juta yang diolah sepanjang dua (2) tahun lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Dana Jaminan Makanan (DJM) dengan terus mengutamakan sektor agromakanan sekaligus membolehkan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 kembali pulih bagi meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.

Advertisements

“Dana-dana khas telah diagihkan kepada Jabatan dan agensi termasuk LPNM serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Nelayan kawasan (PNK) bagi manfaat golongan petani, penternak, peladang dan nelayan serta pengusaha agromakanan di sepanjang rantaian nilai,” kata Dr Ronald.
MAFI telah memperuntukan sebanyak RM13 juta kepada LPNM di bawah PRIHATIN bagi membantu dan memastikan sektor ini dapat terus beroperasi seperti biasa. Peruntukan di bawah PRIHATIN ini merangkumi keseluruhan aktiviti dan rantaian dalam industri nanas iaitu meliputi pekebun kecil, pengangkut dan penjual, pengeksport, usahawan pemasar dan usahawan industri asas tani.
Tambah beliau lagi, selaras dengan halatuju LPNM dalam memperkasakan pembangunan industri nanas negara serta meningkatkan purata pendapatan pengusaha nanas daripada RM 5,000/bulan kepada RM 8,000/bulan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), MAFI melalui LPNM memperuntukan sebanyak RM137 juta melibatkan 7 skop program pembangunan meliputi bantuan kepada pekebun kecil serta usahawan industri hiliran nanas.
Tujuh (7) Program Pembangunan yang dilaksanakan pada tahun 2022 termasuk (1) Program Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi, (2) Program Pengeluaran Benih Nanas, (3) Program Pemodenan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas, (4) Program Pemodenan dan Pemerkasaan Industri Nanas Berimpak Tinggi Sarawak, (5) Program Penerokaan Akses Pasaran Industri Nanas Global, (6) Program Pemerkasaan Fasiliti IAT Nanas (FIN) dan (7) Program Pembangunan Industri Produk Nanas Berinovasi. LPNM menyasarkan untuk meningkatkan kawasan tanaman nanas negara kepada 20,000 hektar pada tahun 2025 berbanding 17,000 hektar pada tahun 2020. LPNM akan meningkatkan kadar peratusan tanaman nanas varieti MD2 daripada 15% pada ketika ini kepada 50% dalam sasaran keluasan ini bagi menampung permintaan tinggi dalam pasaran domestik serta eksport.
Sektor industri nanas negara diunjurkan terus berkembang sebanyak 5% setahun dengan eksport nanas negara telah mengalami peningkatan ketara iaitu sebanyak RM641 juta pada tahun 2020 berbanding RM138 juta pada tahun 2016.
JDIA2022 Daerah Pagoh pada hari ini turut membuat penyampaian Mockup Cheque Jumlah Insentif Negeri Johor Tahun 2022. LPNM telah menyediakan Peruntukan Program Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi berjumlah RM1.4 juta bagi membantu merancakan lagi Industri Nanas di Johor.
Turut disampaikan bantuan Bakul Makanan MAFI Prihatin kepada penduduk kawasan Pagoh yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19 dan bencana banjir yang terdiri daripada orang awam, warga petani, penternak dan nelayan serta golongan OKU. Antara barangan sumbangan yang disampaikan adalah beras, gula, tepung, minyak masak, susu pekat, biskut, bihun, nanas tin serta jem nanas.
Turut diadakan pada program kali ini adalah Sesi Sembang Santai YB Menteri MAFI bersama komuniti pengusaha nanas Pagoh. Seramai hampir 20 orang usahawan nanas daripada pengusaha penanaman nanas dan pengusaha produk berasakan nanas bersama dalam sesi ini untuk berbincang secara santai, bertukar pandangan dan pendapat bersama YB Menteri dan LPNM. Hasilan pada sesi santai ini akan memberikan idea dan cadangan khususnya kepada industri nanas sebelum langkah intervensi yang sesuai diambil mengikut kepada perkembangan semasa dan keperluan sebenar yang diperlukan oleh pemain industri nanas sendiri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles